Monday, November 19, 2018
Home POLITIK Penghinaan terhadap Kesultanan Perak sudah keterlaluan

Penghinaan terhadap Kesultanan Perak sudah keterlaluan

2007
Sultan Nazrin Muizzuddin Shah

UMNO Perak memandang serius tindakan seorang ahli perniagaan, Koon Yew Yin yang mengeluarkan beberapa kenyataan berbaur penghinaan terhadap institusi Kesultanan Perak.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, dakwaan Yew Yin yang mengaitkan Almarhum Sultan Azlan Muhibbuddin Shah dengan amalan rasuah pengurniaan darjah kebesaran negeri adalah amat keterlaluan.

Menurutnya, dakwaan tersebut dilihat sebagai cubaan untuk meniup api kebencian rakyat terhadap institusi raja.

Menurutnya, kenyataan terbaharu Yew Yin yang menuduh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah campur tangan dalam penyingkirannya sebagai Ahli Majlis Penasihat Ekonomi Negeri Perak juga berbaur fitnah.

“Tindakan itu seolah-olah mencabar kemuliaan institusi raja yang selama ini bersikap berkecuali dalam politik.

“Walaupun umum mengetahui Koon merupakan penyokong kuat dan mempunyai hubungan akrab dengan pemimpin politik Pakatan Harapan (PH) khususnya DAP, namun pergelutan politik sesama mereka tidak wajar dijadikan alasan untuk mengheret institusi raja ke kancah politik kepartian,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Saarani berkata, UMNO Perak mengingatkan semua pihak bahawa kemenangan parti pilihan mereka dalam pilihan raya tidak menjadi suatu keistimewaan untuk berasa kebal dan berkata apa sahaja apatah lagi sehingga memperlekah dan mencemarkan kredibiliti institusi raja.

Katanya, cukup-cukuplah dengan tindak-tanduk pemimpin PH sebelum ini yang bertindak biadab termasuk berpakaian serba hitam seperti tanda berkabung ketika upacara istiadat pembukaan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga mengundang murka Sultan Perak.

“Janganlah menjadikannya sebagai ikutan sama ada secara perbuatan atau kata-kata kerana ia tidak mencerminkan sikap warga yang bertanggungjawab dan menghormati kemuliaan institusi raja,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments