Tidak ditawar kontrak baru, Safiq Rahim sah tinggalkan JDT

157

TEKA- teki mengenai kedudukan pemain tengah Johor Darul Ta’zim (JDT), Safiq Rahim akhirnya terjawab apabila dia disahkan tidak akan lagi menyarung jersi pasukan itu musim hadapan.

Perkara itu diumumkan Pemilik Kelab JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menerusi satu kenyataan di laman Facebook Johor Southern  Tigers, di sini, malam tadi.

Dalam kenyataan itu, Tunku Ismail menzahirkan ucapan terima kasih kepada Safiq yang mana disifatkan pemain paling berjaya dalan pembangunan Harimau Selatan sejak beberapa tahun lalu.

“Pemain paling berjaya, kapten terbaik dalam sejarah JDT dan pemain bola sepak terbaik bukan sahaja di JDT tetapi kepada kelab seperti Selangor dan skuad kebangsaan,” katanya.

Bagaimanapun, Tunku Ismail turut memberi gambaran positif kepada pemain berusia 31 tahun tersebut yang mana kepulangannya ke JDT akan sentiasa terbuka.

“Dalam bola sepak apa sahaja boleh berlaku dan kita tidak akan tahu sama ada Safiq akan kembali semula atau tidak suatu hari nanti. Saya pun tidak tahu.

“Pintu di Johor sentiasa terbuka untuk beliau dan walau apa pun, setinggi-tinggi ucapan terima kasih dari saya, JDT dan semua penyokong serta keluarga JDT,” katanya.

Safiq yang menyertai JDT pada 2013 dari Selangor telah mencatatkan pelbagai kejuaraan domestik bersama pasukan itu antaranya lima kali gelaran Liga Super sejak 2014, Piala Malaysia 2017, dan Piala FA 2016.

Pakar sepakan percuma itu juga pernah dinobat sebagai pemain paling bernilai Piala AFC2015 ketika mengetuai Harimau Selatan merangkul piala berprestij tersebut pada tahun sama.

Bagaimanapun, pemain itu mula kehilangan tempatnya sebagai pemain utama ketika pertengahan saingan Liga Super musim lalu dan terus menjadi tanda tanya kepada peminat bola sepak tanah air.

Spekulasi kemudiannya menjadi semakin hangat apabila beliau dikhabarkan bakal dilamar kelab tempatan yang berpengkalan di Lembah Klang, selain tidak menerima lanjutan kontrak dari JDT.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments