Kata hasil negara meningkat 7 kali ganda, Guan Eng disindir netizen

1424

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng petang ini mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) berjaya meningkatkan sebanyak tujuh kali ganda dalam Akaun Hasil Disatukan iaitu RM3.25 bilion dalam tempoh hanya empat bulan.

Kerajaan kata beliau, berjaya meningkatkan jumlah daripada RM450 juta pada 30 April 2018 yang ditinggalkan kerajaan Barisan Nasional kepada RM3.70 bilion pada 31 Ogos 2018.

Hasil untuk tempoh empat bulan, iaitu Mei-Ogos 2018 meningkat sebanyak RM1.70 bilion daripada RM71.88 bilion kepada RM73.58 bilion.

“Manakala perbelanjaan pengurusan bagi tempoh Mei-Ogos 2018 telah susut sebanyak RM12.96 bilion daripada RM83.29 billion kepada RM70.33 bilion.

“Lebihan dalam baki akaun semasa berjumlah RM3.25 bilion telah membantu Kerajaan Persekutuan mencatatkan baki Akaun Hasil Disatukan sebanyak RM3.70 bilion pada 31 Ogos,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagaimanapun, pengumuman itu menjadi bahan gurauan netizen yang rata-ratanya melontarkan kata-kata sinis betapa hebatnya Guan Eng ‘menyelamatkan’ ekonomi negara dalam tempoh empat bulan.

Ruangan komen Laman Facebook Malaysiakini, Sinar Harian dan Berita Harian Online   yang memuatnaik berita menjadi antara medan kritikan ke atas Setiausaha Agung DAP itu.

Seorang netizen, Kamarulhisham Mohamad dalam komennya dengan sinis berkata: “Anda layak diangkat sebagai Menteri Kewangan Terbaik Dunia. Belum ada menteri kewangan yang boleh buat magic (silap mata) seperti ini.”

“Daripada RM450juta + tax holiday tiga bulan = tiba-tiba tetiba bole jadi RM3.70 billion dalam masa empat bulan. Dahsyat dia (Guan Eng) punya goreng,” kata seorang pengikut laman Facebook Malaysiakini,  Fazlie Mohd Noor.

Tidak kurang juga yang mempersoalkan kenapa Guan Eng tidak memperincikan bagaimana kerajaan boleh memperoleh peningkatan itu secara drastik.

“Kemukakan data berapa masuk berapa keluar biar rakyat sendiri menilai,” ujar Ahmad Murad.

Dieyo Adi pula menulis: “YB bukan saje menteri yang hebat malah YB  ada kelebihan lain iaitu pandai buat magik. Dulu yb kata negara hilang pendapatan selepas mansuh GST RM21b , hilang tax holiday RM11b. Bursa saham dan pelabur luar negara jual saham minggu lepas hampir RM2b. Tiba-tiba pendapatan negara meningkat tujuh Kali ganda.. woww YB I memang tabik kat u , belum pernah ada menteri pandai buat magik”.

Dalam pada itu, ada juga netizen yang meminta supaya Guan Eng berhenti bermain dengan angka semata-mata untuk meraih populariti singkat.

“Sekejap nak bangkrup, sekejap kata hasil menimbun. Sekejap kata ekonomi merudum, sekejap kata berdaya saing. Tiba-tiba hasil naik tujuh kali ganda, mana perinciannya? Jangan buat statement untuk populariti singkat, jangan manipulasi angka. Rakyat boleh periksa dan bertanya,” kata Ruzaimah Sidek. – NMP

 

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments