Suspek kes pukul pekerja Petronas ditahan reman

2928

TAPAH: Lelaki yang juga seorang daripada suspek yang aksinya dirakam memukul dan membaling objek kepada seorang pekerja stesen minyak Petronas di sini pada 6 Oktober lalu, direman tiga hari bermula hari ini.

Suspek berusia 25 tahun berpakaian kemeja putih dan seluar lokap berwarna ungu dibawa menaiki trak polis ke Mahkamah Majistret di sini jam 8.40 pagi.

Majistret, Mohd Harith Mohd Mazlan kemudiannya membenarkan suspek direman selama tiga hari sehingga Ahad ini bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Suspek yang juga peniaga berasal dari Cheras, Kuala Lumpur ditahan jam 4.25 petang semalam selepas menyerah diri di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tapah bersama peguamnya.

Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dalam kenyataannya hari ini memberitahu, seorang lagi suspek berusia 40 tahun juga sudah ditahan kelmarin dan direman selama empat hari sehingga Ahad ini bagi membantu siasatan.

Beliau berkata, suspek berusia 40 tahun yang direman itu turut mempunyai rekod jenayah lampau mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana mencederakan orang.

Katanya, lelaki itu adalah tangkapan pertama kes amukan kumpulan motosikal di Petronas Sungkai, yang disiasat mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

Klip video dari rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kejadian pukul yang menjadi viral itu menunjukkan mangsa dibawa keluar oleh sekumpulan lelaki termasuk yang memakai topi keledar dari dalam stesen berkenaan sebelum dipukul hingga terjatuh dan dibaling objek pada jam 12.45 tengah hari, pada hari kejadian.

Menurut laporan polis dibuat mangsa yang turut menjadi viral, mangsa berusia 24 tahun dan tinggal di Kampung Changkat Sulaiman, dekat sini, mendakwa, seorang daripada kumpulan lelaki berkenaan mahu mengisi minyak di pam bernombor enam namun tidak memaklumkan jenis minyak RON97 yang mahu diisi menyebabkan dia diberikan RON95.

Berdasarkan laporan itu, lelaki berkenaan tidak berpuas hati walaupun mangsa mendakwa sudah meminta maaf namun tidak diendahkan sebelum kumpulan lelaki berkenaan menarik mangsa keluar dan seorang daripada mereka memukul dan membaling air tin ke arah mangsa.

Mangsa kemudian membuat laporan polis mendakwa mengalami kesakitan di beberapa anggota badannya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments