Larangan merokok di semua premis makanan mulai Januari 2019

991

Berkuatkuasa 1 Januari tahun depan, kerajaan akan menguakuasakan larangan merokok di semua restoran dan premis makanan di negara ini.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye berkata, cadangan terbabit sudah diluluskan di peringkat Parlimen dan akan berkuat kuasa tahun depan.

Menurutnya, selain kawasan yang sedia maklum seperti tempat awam dan bangunan kerajaan, arahan larangan merokok kini membabitkan semua restoran serta premis makanan termasuk warung makanan di tepi jalan.

“Kita sedar arahan ini sudah lama wujud namun hanya membabitkan restoran tertentu sahaja.

“Tetapi kali ini, semua restoran tidak kira sama ada restoran bertutup, berhawa dingin, atau restoran dan warung berkonsep terbuka (open air) perlu mematuhi arahan ini bermula tahun depan,” katanya.

Beliau berkata demikianpada sidang media selepas merasmikan program International Conference on Life Style Disease (AICLSDs) di Universiti Institut Perubatan, Sains dan Teknologi Asia (AIMST), Sungai Petani, hari ini.

Turut hadir, Naib Canselor dan Ketua Eksekutif Universiti AIMST, Profesor Emeritus Dr Harcharan Singh Sidhu.

Dr Lee berkata, tindakan akan diambil terhadap perokok dan pemilik restoran yang tidak mematuhi peraturan terbabit mengikut Peraturan-Peraturan Kawalan hasil Tembakau 2004 di bawah Akta Makanan 1983 (Akta 324).

Katanya, pihak Kementerian juga sedia maklum akan timbul pelbagai reaksi atau bantahan daripada perokok dan pemilik restoran berikutan arahan ini.

Namun, beliau berkata, pihak kementerian tidak akan berkompromi apabila ia membabitkan aspek kesihatan rakyat di negara ini.

“Masyarakat bukan perokok berhak menikmati makanan tanpa gangguan pencemaran asap rokok yang boleh menjejaskan keselesaan dan kesihatan mereka.

“Peniaga juga tidak perlu risau risiko kekurangan pelanggan kerana kita yakin pelanggan akan lebih ramai kerana berasa selesa tanpa gangguan asap rokok,” katanya.

Beliau berkata, ini adalah antara usaha KKM untuk memastikan rakyat negara ini terhindar daripada penyakit yang berpunca daripada asap rokok.

“Situasi ini sekali gus diharap dapat mengurangkan perbelanjaan kerajaan dalam aspek kos rawatan pesakit yang berpunca daripada asap rokok,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments