Tular kisah ‘laksa maut’, peniaga akui sangat tertekan

102

Seorang peniaga di Baling, Kedah mengakui sangat tertekan berikutan tularnya berita mengenai dua kematian dikaitkan dengan hidangan laksa yang dijual di gerainya.

Daud Ismail berkata, dengan pelbagai berita yang tular ketika ini menunjukkan seolah-olah dia sudah diputuskan bersalah.

“Benda ini telah tular di media sosial, dah jadi viral sangat, seolah-olah kami yang bersalah, seolah-olah kami yang buat laksa ini jadi beracun.

“Kami tertekan, sangat tertekan. Selama 15 tahun ini laksa inilah pendapatan kami anak beranak, bila jadi macam nih, saya sedih sangat,” katanya yang mengharapkan orang ramai tidak menularkan berita yang belum pasti.

Menurut Daud, dia masih menunggu keputusan makmal bagi mengesahkan punca sebenar kes keracunan yang dikaitkan dengan laksa dijualnya.

Katanya, Jabatan kesihatan memaklumkan punca sebenar hanya akan diketahui selepas keputusan ujian diperolehi.

Bagaimanapun, dia kecewa apabila kenyataan dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggambarkan punca keracunan sudah diketahui.

“Daripada kenyataan disiarkan media, seolah-olah laksa dijual saya memang disahkan beracun.

“Sedangkan jabatan kesihatan masih melakukan pemeriksaan dan pihaknya ada datang empat kali untuk mengambil sampel laksa dan barang masakan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini hari ini.

Bagaimanapun katanya, selagi belum ada keputusan sah, dia akan memberikan kerjasama penuh kepada KKM. – NMP

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments