Rozman dilapor akan tinggalkan UMNO, sertai Warisan

1332

Seorang lagi Ahli Parlimen daripada UMNO dilaporkan akan meninggalkan esok.

Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli dijangka membuat pengumuman untuk menyertai Parti Warisan Sabah (Warisan).

Memetik laporan Astro Awani, Rozman enggan mengesahkan spekulasi tersebut, namun mengakui akan memberi kenyataan esok mengenai masa depan politiknya.

“Saya akan memberi kenyataan rasmi esok (Khamis) dan sekarang sedang menyediakan kenyataan itu.

“Banyak perkara yang akan dimuatkan dalam kenyataan itu,” katanya dipetik sebagai berkata.

Sekiranya spekulasi itu benar, Rozman akan menjadi anggota parlimen UMNO yang keenam meninggalkan parti.

Dengan hanya 48 anggota parlimen yang tinggal, ia akan menjadikan UMNO bukan lagi parti terbesar dalam Dewan Rakyat.

Ketika ini, UMNO dan PKR masing-masing merupakan parti terbesar di Dewan Rakyat dengan 49 kerusi.

PKR sebelum ini mempunyai 50 kerusi namun berkurang satu kerusi setelah kerusi Port Dickson dikosongkan bagi memberi laluan kepada Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK).

PKR akan mempunyai 50 kerusi semula sekiranya Anwar menang dalam PRK itu Sabtu ini.

Laporan itu berkata Rozman dijangka menyerahkan borang keanggotaan kepada Timbalan Presiden Warisan, Darell Leiking.

Darell dijadualkan mengunjungi Labuan esok.

Bulan lalu, Anggota Parlimen Kimanis Datuk Seri Anifah Aman dan Anggota Parlimen Jeli Datuk Mustapha Mohamed keluar Umno.

Sebelum itu, tiga anggota parliemen Umno telah meninggalkan parti itu. Mereka ialah Anggota Parlimen Masjid Tanah Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Anggota Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dan Anggota Parlimen Bagan Serai Datuk Noor Azmi Ghazali – NMP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments