‘Kalau penduduk kata saya salah, sila lantik peguam’

2013

EXCO Pertanian, Pembangunan Usahawan dan Industri Asas Tani negeri, Norhizam Hassan Baktee mempertahankan tindakan menutup jalan di Taman Akasia, Pengkalan Batu yang mendapat bantahan penduduk kampung berhampiran.

Norhizam yang menerima kecaman teruk di laman sosial menegaskan, tindakan Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ) menutup dua jalan alternatif di Taman Akasia, Pengkalan Batu di sini diambil selepas mengambil kira faktor keselamatan.

Beliau berkata, jalan alternatif berkenaan adalah laluan pintas yang dibuat di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri.

NORHIZAM (kiri) bercakap dengan wakil penduduk Kampung Pulau Nibong, Md Derus Tompang, 58, (dua dari kanan) dan Julia Mohamat, 45, (kanan) pada sidang media susulan penutupan jalan alternatif ke Taman Akasia, Pengkalan Batu. – NSTP

“Jalan ini diguna oleh penduduk kampung berhampiran untuk keluar ke jalan utama sejak tahun 2005.

“Keputusan penutupannya (jalan) dibuat selepas penduduk berasakan keselamatan, terutama kanak-kanak tidak selamat apabila kenderaan yang melalui kawasan ini dipandu laju. Ia bukanlah (keputusan) atau alasan untuk lebihkan penduduk taman perumahan,” katanya selepas mengadakan pertemuan bersama penduduk taman dan kampung yang terbabit, di sini, hari ini.

NORHIZAM (tiga dari kanan) bersama Penghulu Pengkalan Batu, Ayub Husin (dua dari kanan) dan Pengerusi Taman Akasia, Mohd Shari Mohamed Amin (kiri) meluangkan masa melawat ke jalan alternatif Taman Akasia, Batu Berendam yang kini ditutup – Gambar NSTP

Norhizam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Batu berkata, penutupan jalan yang dibuat pada Selasa lalu mengundang kemarahan dan rasa tidak puas hati dalam kalangan penduduk kampung.

“Sepatutnya penduduk tahu membezakan mana satu jalan alternatif dan jalan utama. Setahu saya, jalan taman untuk orang taman.

“Sebelum ia (keputusan) dibuat, saya sudah buka buku dan melihat akta. Kalau penduduk rasa saya salah kerana menyebelahi penduduk taman perumahan, mereka boleh lantik peguam dan kita lakukannya mengikut undang-undang,” katanya. – NMP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments