Sampai bila mahu tipu, Aishah beri tempoh 7 hari kepada Vida

2865

KEMELUT dua figura – Aishah dan Datuk Vida rupanya belum selesai, malah semakin membahang.

Aishah memberi tempoh tujuh hari kepada Vida atau Datuk Seri Hasmiza Othman supaya melangsaikan hadiah Gegar Vaganza musim keempat yang dimenanginya atau berdepan tindakan undang-undang.

Aishah menerusi peguamnya Mohammad Izwan Azmi, berkata, ahli perniagaan tersebut perlu bertanggungjawab terhadap hadiah yang dihebohkan selepas Aishah menjuarai Gegar Vaganza musim keempat.

AISHAH (dua kanan) bersama peguamnya dalam satu sidang akhbar.
Gambar: mStar

“Kami sudah menghantar satu surat tuntutan bermula hari ini. Menerusi surat tersebut terdapat dua tuntutan iaitu seutas rantai berlian asli dengan nilai setara RM80,000 seperti dihebohkan.

“Manakala tuntutan kedua satu permohonan maaf terbuka atas representasi yang salah yang telah dibuat berkenaan rantai berlian tersebut,” katanya dipetik portal mStar.

Penyanyi yang terkenal menerusi lagu Janji Manismu ini bersama peguamnya ditemui pada sidang media khas yang diadakan di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur pada Jumaat.

Tambahnya, tindakan undang-undang akan diambil jika usahawan berkenaan gagal berbuat demikian dalam tempoh tujuh hari yang diberikan.

Sementara itu, Aishah berkata, dia juga menolak jemputan untuk hadir pada minggu kedua Gegar Vaganza musim kelima (GV5) bagi menyelesaikan isu berkenaan seperti dicadangkan pihak Astro.

Kata Aishah, pentas nyanyian tersebut bukan tempat yang sesuai untuk menyelesaikan itu.

“Saya dapat jemputan rasmi untuk hadir pada minggu ini GV5 tapi saya tidak akan hadir berikutan pentas nyanyian bukan tempat yang sesuai untuk selesaikan isu itu.

“Mungkin penaja baru iaitu Datuk Seri Aliff Syukri menganggap perkara itu kecil dan saya anggap ia seperti memperlekehkan isu ini sahaja.

“Ia hanya berkaitan ‘rating’ sahaja, perkara itu tidak boleh selesai dalam tempoh dua tiga minit siaran langsung itu,” katanya.

Dalam pada itu, Aishah berkata, tindakan yang dilakukan ini adalah bagi menyedarkan pihak penaja dan badan penyiaran agar tidak terus membuli artis untuk kepentingan mereka.

“Kalau saya tidak bercakap dan menuntut keadilan ini sampai bila artis ingin ditipu dan dibuli? Ramai yang melalui perkara sama tapi hanya berdiam diri,” ujarnya.

Pada 25 Ogos lalu, Aishah mendedahkan masih belum menerima hadiah tersebut selain mendakwa barangan kemas tajaan usahawan Datuk Seri Vida yang bernilai RM80,000 adalah palsu.

Bagaimanapun hadiah lain seperti wang tunai berjumlah RM100,000, pakej percutian ke Eropah Timur dan baucer beli-belah sudah diterimanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments