Isu tandas untuk LGBT, Mujahid akhirnya mohon maaf

1633
Mujahid dan Nisha dalam satu pertemuan Jumaat lalu.

Isu tandas untuk LGBT, Mujahid akhirnya mohon maaf

Selepas kecaman pelbagai pihak terutamanya netizen berhubung kenyataannya bersama wakil transgender, Nisha Ayub minggu lalu, Datuk Dr Mujahid Rawa hari ini menampilkan permohonan maaf.

Sehubungan itu, beliau yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri menarik semula kenyataannya yang kurang sesuai semasa sidang media selepas pertemuan dengan Nisha.

Permohonan maaf itu kata, Mujahid dibuat atas kesedaran bahawa kenyataannya menimbulkan kekeliruan di kalangan masyarakat terutamanya mengenai penggunaan tandas awam dan beberapa perkara lain.

“Kenyataan Jumaat lalu bukan muktamad mahupun arahan, hanya sekadar respons spontan saya. Ingin saya tegaskan, tiada arahan atau keizinan daripada saya untuk transgender berkongsi tandas awam dengan wanita, sebaliknya hanyalah “maybe..” dan “if…

“Sama juga dalam hal berkaitan saf solat. Apapun, saya memohon maaf kepada pihak yang berasa terancam dengan kekeliruan yang berlaku dan juga menarik semula kenyataan yang kurang sesuai,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, hal berkaitan isu transgender lebih sesuai dibicarakan lanjut kelak oleh pihak mufti sebagai keputusan terbaik.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sudah pun menjalankan kerja dakwah secara ‘engagement’ terhadap pelbagai kumpulan sasaran terutama dalam isu transgender.

“Namun, pendekatan dakwah secara engagement bukan bermakna saya atau kerajaan sokongan perlakuan Lesbian, Gay Biseksual, Transeksual (LGBT),” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, hari ini.

Menurutnya lagi, kesukaran golongan transgender mendapatkan pekerjaan disebabkan peraturan oleh majikan, adat dan budaya antara faktor mendorong mereka menjadi pekerja seks.

“Namun, kita tidak boleh nafikan hak asas pelaku LGBT sebagai manusia untuk didekati, dibimbing, mendapat pekerjaan, mendapat pelanggan bagi perniagaan, rawatan apabila sakit, bantuan apabila memerlukan, tidak dihina dan dikutuk.

“Hak asas yang wajar dinikmati oleh setiap warganegara selagi mana ia tidak mengancam hak yang lain secara jelas,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments