Persoal peruntukan Agong, Anwar tegur penasihat Tun M

9051

Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur anggota Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU Datuk Abdul Kadir Jasin berhubung peruntukan kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong (YDPA).

Beliau berkata walaupun hak untuk menyuarakan pandangan perlu dihormati, ketua media dan komunikasi Majlis Penasihat Kerajaan itu perlu menunjukkan penghormatan dan ketertiban (decorum) dalam hal ini.

Katanya, kritikan itu juga dibuat tanpa memberi peluang kepada Institusi Raja-raja Melayu untuk memberi respons.

“Sekiranya buat kritikan sebegini tanpa memberi peluang kepada Raja-Raja Melayu untuk jelaskan jawapan, ia tidak sihat terutamanya menggunakan kedudukan yang ada.

“Saya juga lihat sejumlah penekanan, dan ada fakta (yang) dipertikai, saya rasa kita perlu lebih berwaspada,” katanya pada sidang media selepas pertemuan dengan wakil rakyat PKR di sebuah hotel di Selangor, hari ini.

Beliau diminta mengulas artikel Abdul Kadir yang juga  di blognya hari ini, yang mendakwa kerajaan memperuntukkan RM256.9 juta antara Januari hingga April tahun ini untuk YDPA.

Namun beliau menyertakan penjelasan bahawa artikel itu ditulis atas kapasiti peribadi dan tidak mempunyai kaitan dengan sebarang jawatan yang dipegangnya.

Mengulas kontroversi sekitar perlantikan pakar perlembagaan Tommy Thomas sebagai peguam negara, Kadir dalam artikel itu berkata Raja-raja Melayu yakin dan tidak merasakan kedudukan mereka tergugat.

“Selama 16 bulan sehingga April tahun ini, sejumlah RM256.9 juta diperuntukkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk tujuan tempat tinggal, istana, barangan peribadi, pengangkutan dan kapal terbang, peralatan dan latihan pengiring, pakaian dan barangan upacara, hadiah dan cenderamata, lawatan luar negara dan gaji pekerja istana,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyatakan sumber maklumat itu.

Menurut Perbendaharaan, kerajaan hanya memperuntukkan RM13.5 juta setiap tahun kepada YDPA.

‘Bina hubungan dengan raja’

Mengulas lanjut, Anwar berkata beliau akan terus mengadakan pertemuan dengan Raja-raja Melayu bagi membuang persepsi Pakatan Harapan (HARAPAN) tidak mesra golongan itu.

“Kami menghabiskan banyak masa dan usaha untuk mendapatkan raja-raja Melayu untuk melindungi pentadbiran ini dan memastikan peralihan kuasa yang lancar,” katanya.

Dalam pertemuan itu, katanya, beliau juga memberi jaminan HARAPAN kekal komited mempertahan peruntukan Perlembagaan Persekutuan dalam soal hak Melayu, serta kedudukan Bahasa Melayu dan Islam.

Katanya lagi, memang sukar untuk meyakinkan Raja-raja Melayu terhadap pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad, justeru semua pihak perlu berhati-hati dalam membuat kenyataan seumpama itu.

Anwar juga memaklumkan beliau kemungkinan besar tidak akan kembali ke Parlimen dalam sesi pertama yang akan bermula 16 Julai ini perlu memenuhi komitmen tempatan dan antarabangsa.

Beliau juga mengesahkan hanya akan kembali sebagai anggota parlimen, tanpa memegang mana-mana kementerian.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments