Shafie tak dibenarkan masuk Istana Negeri

13694

 

KOTA KINABALU: Rombongan Presiden Parti Warisan Sabah (WARISAN), Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebentar tadi tiba di pekarangan Istana Negeri di sini, dipercayai bagi mengadap Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin.

Mohd Shafie yang menaiki Toyota Land Cruiser berwarna hitam tiba pada jam 10.10 pagi namun tidak dibenarkan masuk ke laluan menuju ke istana oleh polis yang mengawal laluan terbabit diketuai Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Razarudin Husain @ Abd Rasid.

Kenderaan membawa Mohd Shafie bersama rombongannya kemudian berlegar-legar di sekitar laluan berkenaan, sebelum beredar.

Terdahulu, beliau keluar dari kediamannya di Bukit Padang di sini, pada jam 10.05 pagi dengan diiringi isteri dan beberapa pemimpin WARISAN, PKR dan DAP.

Ahli Parlimen Semporna dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Senallang itu hanya berkata `it’s good to be humble’ (merendah diri adalah baik) kepada media yang cuba mendapatkan ulasan beliau.

Ketika ditanya sama ada beliau pergi ke Istana Negeri, Mohd Shafie sambil tersenyum menjawab beliau mahu terbang ke bulan.

Pembentukan kerajaan baharu Sabah genting apabila parti komponen BN dan pakatan WARISAN bersama DAP dan PKR masing-masing terikat 29 kerusi.

Baki dua daripada 60 kerusi DUN lagi dimenangi Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) diketuai Datuk Dr Jeffrey Kitingan, namun setakat ini parti itu belum menyatakan pendirian untuk menyokong mana-mana pihak sekali gus membolehkan kerajaan negeri dibentuk.

Difahamkan, Mohd Shafie akan kembali ke istana selepas mendapat kebenaran daripada pihak istana dan keselamatan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments