Menanduk bola boleh cederakan otak, kata kajian

486

NEW YORK 28 April – Aksi menanduk bola yang sering dilakukan oleh kebanyakan pemain bola sepak berisiko lebih tinggi untuk mendatangkan kecederaan otak berbanding kesan kemalangan yang biasa berlaku pada bahagian kepala.

Kajian Kolej Perubatan Albert Einstein New York City terhadap lebih 300 pemain bola sepak amatur mendapati mereka yang sering menanduk bola sama ada pada sesi latihan ataupun perlawanan mencatatkan prestasi lemah dalam ujian tahap psikomotor, tumpuan dan memori.

Ketua pengkaji, Dr. Michael Lipton berkata, kemalangan yang berlaku pada bahagian kepala adalah tiada mempunyai kaitan dengan prestasi ujian kognitif.

“Tumpuan bagi kecederaan kepala ketika bersukan adalah melibatkan berlaku gegaran dan tanda-tanda yang boleh dikenal pasti biasanya berlaku akibat perlanggaran dua pemain atau terjatuh,” katanya.

Para penyelidik melakukan kajian terhadap seramai 308 pemain yang berusia dari 18 hingga 55 tahun dan pernah bermain bola sepak sekurang-kurangnya selama lima tahun serta aktif bermain dalam tempoh enam bulan atau lebih setiap tahun.

Kesemua pemain berkenaan dikehendaki mengisi butiran aktiviti permainan bola sepak dalam tempoh dua minggu sebelum itu termasuk berapa kali mereka menanduk bola dan jika mempunyai sebarang kesan akibat aksi tersebut.

Para pemain juga perlu menjalani ujian pembelajaran secara verbal, memori verbal, tahap psikomotor, tumpuan dan memori.

Kumpulan pemain yang 80 peratusnya adalah lelaki itu berjaya menjalani kesemua ujian yang dilakukan dan mengulangi ujian yang sama sebanyak sekali atau lebih dalam masa tiga hingga enam bulan selang dalam tempoh dua tahun akan datang.

Secara keseluruhannya, jumlah purata pemain menanduk bola adalah sebanyak 45 kali dalam masa dua minggu, tetapi separuh daripada pemain lelaki menanduk bola sekurang-kurangnya 50 kali manakala separuh pemain wanita iaitu sebanyak 26 kali atau lebih.

Dalam tempoh yang sama, satu pertiga pemain mengalami kesan kepala yang tidak disengajakan seperti kesan pukulan atau hentakan di kepala oleh pemain lain atau ditolak jatuh ke tanah.

Sementara itu, para pemain yang dilaporkan paling kerap menanduk bola mencatat ekeputusan prestasi ujian yang buruk berdepan kemungkinan untuk mengalami kecederaan otak.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments