Shahrizat tolak tawaran bertanding di Bandar Tun Razak

139

 

KUALA LUMPUR: Selepas menolak tawaran bertanding di kerusi Parlimen Sungai Besar sebelum ini, Ketua Wanita UMNO, Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil, sebentar tadi mengumumkan beliau juga tidak akan bertanding di kerusi Parlimen Bandar Tun Razak.

Dalam status yang dimuat naik di akaun Facebooknya, Shahrizat berkata beliau tidak akan menerima tawaran untuk bertanding di Bandar Tun Razak walaupun yakin kawasan itu boleh dirampas semula oleh Barisan Nasional (BN) daripada PKR pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

“Ramai yang tanya saya adakah saya akan terima tawaran untuk bertanding di Parlimen Tun Razak? Jawapan saya tidak, walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan di mana Barisan Nasional boleh menang dan tewaskan PKR,” katanya.

Sebelum ini, Shahrizat dikatakan akan dicalon bertanding di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak yang secara tradisinya ditandingi wakil daripada MCA.

UMNO mahu meletakkan calonnya atas alasan mendapat sokongan baik masyarakat Melayu setempat.

Pada PRU-13, wakil MCA kalah kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, dengan majoriti 11,832 undi.

Abdul Khalid, 72, menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas keluar dari PKR dan difahamkan tidak akan mempertahankan kedudukannya di situ pada PRU-14.

Bulan lalu, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunus, mempelawa Shahrizat bertanding di Parlimen Sungai Besar.

Shahrizat adalah ahli UMNO Kepong yang menceburi arena politik pada 1982 sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Kepong Baru. Beliau dipinjamkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika PRU 1995.

Sejak itu, Shahrizat yang menjadi calon payung terjun, memenangi tiga penggal pilihan raya di Parlimen Lembah Pantai sekali gus, menyandang jawatan Ketua Wanita UMNO.

Pada 1995, beliau mengalahkan bekas Ketua Hakim Negara, Tun Mohamed Salleh Abas, yang mewakili Parti Semangat 46 dengan majoriti 13,361 undi.

Pada PRU 1999, Shahrizat menumbangkan calon PKR, Zainur Zakaria, dengan majoriti 1,417 undi dan menang besar pada PRU 2004 mengalahkan bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM), Dr Sanusi Osman, yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 15,288 undi.

Bagaimanapun, Shahrizat kalah dengan majoriti 2,895 undi kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) pada PRU 2008. Pada PRU-13, Shahrizat tidak bertanding di mana-mana kawasan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments