Pelik anjing korek tanah, rupanya ada bayi perempuan ditanam

1638

 

Gelagat mencurigakan dua ekor anjing mengorek tanah di taman permainan Taman Saga, Kolombong, Kota Kinabalu membawa kepada penemuan mayat bayi perempuan yang ditanam di kawasan itu, hari ini.

Dalam kejadian pada 8 pagi itu, mayat bayi masih bertali pusat itu ditemui dibalut dengan kain putih ditanam di kawasan terbabit sebelum ditutupi dengan pasu bunga.

Pemilik anjing dikenali sebagai Wong, 50, berkata dia pelik apabila melihat dua daripada tiga anjing yang dibawanya di taman permainan itu mengorek tanah di kawasan berkenaan.

“Curiga dengan tingkah laku anjing itu, saya menghampirinya dan terkejut apabila melihat kain putih yang di dalamnya ada mayat bayi. Saya kemudian menghubungi polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurutnya, kemungkinan bayi malang itu ditanam di kawasan berkenaan sekitar malam tadi kerana sebelum itu dia turut membawa anjingnya di taman permainan terbabit, namun tiada perkara pelik berlaku.

“Pada 5 petang semalam, saya membawa tiga anjing peliharaan di taman permainan itu, namun tiada apa-apa yang berlaku.

“Tetapi apa yang berlaku pagi tadi amat mengejutkan. Sampai hati mereka memperlakukan bayi seperti ini,” katanya yang tinggal di kawasan perumahan berkenaan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra, ketika dihubungi mengesahkan penemuan dan mayat bayi terbabit kemudian dihantar ke Hospital Queen Elizabeth.

“Siasatan lanjut mengenai penemuan mayat bayi terbabit masih dijalankan,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments