Zahirah nafi selfie depan jenazah ibu Zul

    893

    Dituduh seronok berselfie bersama seorang teman berdekatan jenazah ibu Zul Ariffin ketika di dalam masjid, Zahirah Macwilson menafikan dakwaan yang dibuat bekas kekasihnya itu pernah berlaku.

    Menerusi satu temubual Zul bersama sebuah portal hiburan, dia mengesahkan bahawa kisah cintanya bersama Zahirah telah menemui titik noktah sejak lebih sebulan yang lalu.

    Dalam wawancara itu, Zul turut mendakwa bahawa Zahirah berswafoto dengan gembira hanya kira-kira 20 meter dari jenazah ibunya tanpa rasa sensitif.

    Memetik portal Astro Gempak, aktres berusia 23 tahun itu nyata terkejut dengan kenyataan Zul itu sambil menyifatkan perkara itu sebagai fitnah semata-mata.

    Malah, Zahirah meminta Zul mengemukakan bukti sekiranya benar Zahirah bertindak seperti yang didakwa ketika menziarahi jenazah ibu Zul yang meninggal dunia pada 5 Disember tahun lalu.

    “Saya terkejut membaca kenyataan Zul. Fitnah semata-mata. Jika benar, kalau ada bukti, sila tunjukkan. Apa motif dia burukkan nama saya selepas membuat pengesahan yang kami sudah putus?

    “Takkan saya tak ada perasaan? Takkan saya tak sensitif langsung? Saya pun ada mencium arwah ibunya. Agak-agaklah, saya bukannya bodoh sangat sehingga sanggup bertindak sebegitu,” kata Zahirah memetik portal berkenaan.

    Tambahnya, dia sememangnya berada di masjid berkenaan bersama rakannya pada waktu itu, namun tidak berswafoto seperti yang didakwa Zul dan hanya mengambil gambar bersama sepupu aktor berkenaan ketika malam tahlil.

    “Memang saya ada di masjid ketika itu dan saya hadir bersama teman saya. Dia juga mengenali teman saya.

    “Nak berkata tentang selfie, saya ada berswafoto dengan sepupu Zul, itu pun ketika di selesai malam tahlil. Bukan ketika berada di dalam masjid sewaktu jenazah ibunya masih ada.

    “Selepas selesai kenduri, sepupunya ada meminta untuk mengambil selfie bersama saya, jadi saya turutkan sahaja,” ujarnya.

    Selain itu, Zahirah turut mempersoalkan tindakan Zul yang dilihat seperti mahu memburukkannya kepada umum walhal mengatakan sudah memaafkan Zahirah.

    Bagaimanapun, jelas bintang drama Tak Ada Cinta Sepertimu itu, perkara tersebut bukanlah menjadi punca sebenar perpisahan mereka berdua.

    “Kami sudah tiada hubungan, benar, sudah lebih sebulan, dia juga mengatakan sudah memaafkan saya, tetapi kenapa perlu memburukkan saya? Kenapa nak tabur fitnah?

    “Kami putus pun bukan atas sebab tersebut. Saya tak mahu membuka mulut kerana itu akan membuka aib sahaja. Saya tak mahu burukkan sesiapa.

    “Biarkanlah dia, saya hanya akan berdiam sahaja dan tak mahu berbicara lagi mengenai perkara ini,” jelasnya.

    Zahirah mengakhiri perbualan tersebut dengan mengatakan bahawa dia kini hanya mahu terus maju ke hadapan dan memberikan fokus yang sepenuhnya terhadap kariernya selepas ini selain ingin meletakkan isu ini di belakangnya.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments