4,000 ahli PPBM keluar parti

3954

ALOR SETAR: Kurang 24 jam selepas Parti Amanah Negara (PAN) mengumumkan calon parti itu untuk kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah, seramai 4,000 ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dari Alor Mengkudu bertindak keluar parti bagi memprotes pengagihan kerusi dalam kalangan pakatan pembangkang, hari ini.

Serentak itu, 15 Pusat Daerah Mengundi (PDM) dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Alor Mengkudu juga dibubarkan sebagai bantahan kepada pencalonan Timbalan Pengerusi PAN Kedah, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi sebagai calon pakatan pembangkang di DUN terbabit.

Mereka kemudian mengambil keputusan menyertai UMNO dan Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa serta-merta dengan memakai baju biru sebagai simbolik keluar parti.

Jurucakap 15 PDM itu, Muhamad Rizal Zainol Abidin, berkata pihaknya kesal dan tidak berpuas hati dengan pengagihan kerusi DUN serta Parlimen pakatan pembangkang membabitkan PPBM, PAN, PKR dan DAP di Kedah.

Beliau yang juga Ketua PDM Alor Melintang berkata, pihaknya tidak menyangka selepas bekerja keras hampir dua tahun dengan menyiapkan jentera dan merekrut keahlian PPBM dalam kalangan penduduk, tiba-tiba kerusi DUN Alor Mengkudu diserahkan kepada calon PAN.

“Sepatutnya kerusi ini diberi kepada calon PPBM, tetapi ia jadi sebaliknya apabila diberi kepada pemimpin yang tidak pernah memberikan khidmat kepada pengundi DUN di sini selama ini.

“Ini jelas satu pengkhianatan kepada kami dari 15 PDM yang sebelum ini sudah dipersetujui berhubung agihan kerusi bahawa DUN Alor Mengkudu diberi kepada PPBM. Ini helah politik yang menjengkelkan dan tidak berpaksikan keadilan dengan mengetepikan sumbangan pihak PPBM,” katanya pada sidang media di majlis Kenduri Rakyat DUN Alor Mengkudu, di Jalan Datuk Kumbar di sini, hari ini.

Susulan itu, Muhamad Rizal berkata, pihaknya memutuskan untuk membubarkan semua 16 PDM PPBM dan jentera Pilihan Raya PPBM DUN Alor Mengkudu.

Katanya, pihaknya juga akan memboikot segala kerjasama bagi membantu calon PAN bagi membantu kemenangan calon BN.

“Kami juga mendokong kepemimpinan Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah supaya terus kekal sebagai Pengerusi BN dan menjadi Menteri Besar Kedah untuk penggal seterusnya.

“Selain itu, 4,000 ahli akan berkempen dengan penuh upaya untuk memenangkan calon diketengahkan BN Kedah di kerusi DUN ini bagi membolehkan nasib pengundi dapat dibela, selari dengan komitmen BN Kedah.

“Ia juga sebagai pengajaran kepada pimpinan pakatan pembangkang supaya tidak mengamalkan politik kepentingan kendiri dengan sanggup membelakangkan janji dan semangat setia kawan yang sebelum ini diikrarkan,” katanya.

Semalam NSTP melaporkan Presiden PAN, Mohamad Sabu mengumumkan Phahrolrazi yang juga bekas EXCO kerajaan negeri PAS sebelum ini, tidak mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kundor yang disandangnya sejak 1999, 2008 dan 2013 kerana akan berpindah untuk bertanding di kerusi DUN Alor Mengkudu.

Mohamad juga mengumumkan bekas Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena di bawah tiket PAN.

PAN akan bertanding tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Terap, Pokok Sena dan Sik, selain 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments