Mimpi Hael jadi kenyataan

    210

     

    KUALA LUMPUR: Setiap penyanyi menyimpan impian tersendiri dan bagi Hael Husaini, dia juga tidak ketinggalan mempunyai keinginan tersendiri dalam meneruskan kelangsungan kerjaya seninya.

    Sudah lama pemenang Anugerah Juara Lagu Ke-32 (AJL 32) menerusi lagu Jampi itu menyimpan hasrat untuk menjalin kerjasama dengan penyanyi kegemarannya, Dayang Nurfaizah.

    Meskipun pada mulanya agak ragu-ragu untuk memulakan langkah, Hael tetap memberanikan diri melamar penyanyi kelahiran Kuching, Sarawak itu.

    Percubaan itu berhasil apabila Dayang menyatakan persetujuan untuk berduet dalam lagu terbaru ciptaannya bersama Ezra Kong, Haram.

    “Saya hanya mencuba nasib, namun tidak sangka impian untuk berkongsi rasa dalam satu akhirnya menjadi kenyataan. Saya sangat berbesar hati apabila pengurusan Dayang bersetuju menjayakan projek istimewa ini.

    “Walaupun berdepan kekangan masa, Dayang begitu profesional. Dia komited dalam menjayakan projek ini, sekali gus membantu kelancaran proses rakaman. Begitu juga ketika penggambaran video muzik, Dayang memberikan komitmen terbaik,” katanya.

    Bakal dilancarkan serentak di YouTube dan beberapa platform digital lain bermula Jumaat ini, Hael atau nama lengkapnya, Hal Husaini Razmi berkata, judul Haram dipilih sebagai simbolik kepada jalan cerita keseluruhan lagu itu.

    “Ia menggambarkan keutuhan cinta pasangan kekasih, membuatkan mereka berikrar untuk ‘mengharamkan’ hati dan cinta singgah kepada insan lain. Itu yang saya dan Ezra cuba sampaikan dalam lagu ini,” katanya.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments