Bayar RM37 juta untuk menginap hotel mewah di angkasa

556

CALIFORNIA 7 April – Sebuah hotel mewah di angkasa lepas yang pertama di dunia dikenali sebagai ‘Aurora Station’ bakal dilancarkan pada 2021 dan bayaran sebanyak AS$9.5 juta (RM37 juta) dikenakan untuk penginapan selama 12 hari.

Syarikat terbabit, Orion Span mengumumkan, hotel berkenaan akan mula berada di orbit dalam tempoh empat tahun sebelum mampu menerima kunjungan penginapnya dalam tempoh lima tahun.

Berbeza dengan hotel biasa, para penginap tinggal dalam keadaan sifar graviti angkasa dan berpeluang menikmati keindahan bumi dari angkasa lepas serta menyaksikan matahari terbit dan terbenam sebanyak 16 kali sehari.

Projek hotel yang mampu menampung enam penumpang termasuk dua kru pada satu-satu masa diumumkan baru-baru ini di persidangan Angkasa 2.0 di San Jose, California, lapor portal Daily Mail.

Pengasas Orion Span, Frank Bunger yang juga Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) firma itu mendakwa misi mereka ialah untuk ‘membina komuniti mapan manusia di angkasa lepas yang terbuka kepada semua orang‘.

Di sebalik kenyataan firma itu bakal membina stesen angkasa lepas sendiri tetapi belum mengesahkan perincian pelancarannya dengan mana-mana syarikat.

‘Aurora Station’ mempunyai keluasan sama seperti kabin jet peribadi yang berukuran 13.3 panjang dan 4.3 meter lebar dilengkapi dengan internet tanpa wayar berkelajuan tinggi bagi membolehkan penginap berhubung dengan keluarga dan rakan.

Mereka yang ingin menginap terlebih dahulu perlu membayar wang deposit berjumlah AS$80,000 (RM309,000).

Pengalaman selama 12 hari itu bersamaan dengan AS$28,000 (RM108,000) bagi setiap jam.

Bakal penginap hotel, bagaimanapun diwajibkan mengikuti latihan selama tiga bulan di pusat kemudahan Orion Span, Houston, Texas bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments