Tolak Marvel, Raja Ilya terima tawaran produksi AS lain

    312

    Satu yang pergi, puluhan yang sudi menanti… Pelakon tinggi lampai Raja Ilya terpaksa akui tujuan dia menolak tawaran sebuah studio penerbitan adiwira terkenal di Hollywood, Marvel Studios ialah disebabkan prinsip diri yang dipegangnya.

    Raja Ilya atau nama sebenarnya, Raja Ramilah Begum Raja Mohamad, 32, memberitahu bahawa syarat yang ditetapkan oleh studio berkenaan tidak sesuai dengan dirinya selepas menimbang segala kebaikan mahupun keburukan di masa akan datang.

    “Saya terima dengan hati terbuka biarpun terpaksa melepaskan perkara besar. Ini kerana saya fikir tidak sesuai dengan kita. Saya tidak boleh ulas panjang tapi saya percaya semua pihak faham.

    “Orang boleh buat apa juga andaian tapi keputusan ini diambil demi kebaikan saya dan masa depan kerjaya,” ujarnya.

     

     

    Baru-baru ini, pelakon drama Tuan Anas Mikael itu telah terbang ke negara Uncle Sam, Amerika Syarikat untuk menjalani uji bakat bagi membinyangi filem adiwira dibawah terbitan studio berkenaan.

    Selepas tiga bulan membuat persiapan rapi bagi mendapatkan watak tersebut, Raja Ilya telah menghabiskan masa selama dua minggu di sana namun nasib tidak menyebelahi dirinya apabila dia terpaksa menolak tawaran yang diberikan kepadanya atas sebab-sebab tertentu.

    Bagaimanapun, kekecewaan pelakon berdarah kacukan Melayu, Arab dan Malayam iu terubat apabila dia telah menerima tawaran lain daripada sebuah syarikat produksi dari negara berkenaan.

     

     

    “Saya sangat teruja untuk berkongsi… Tetapi saya sudah tandatangan perjanjian rahsia dan diminta ‘mengunci’ mulut.

    “Saya minta semua peminat mendoakan yang terbaik. Saya berjanji apabila sampai masanya, saya akan beritahu dengan lebih lanjut,” tambahnya lagi.

    Kini, Raja Ilya sedang sibuk menghabiskan penggambaran beberapa drama antaranya Syurga Tak Sampurna 2 serta dua lagi filem yang bakal dibintanginya.

     

     

    Malah, syarikat produksi tersebut bersetuju untuk menunggu dia untuk kembali ‘terbang’ ke sana selepas selesai menjalani penggambarannya di sini.

    Tambahnya yang juga memegang watak sebagai Inspektor Shakila dalam drama bersiri polis Gerak Khas, selama dua minggu berada di Amerika Syarikat telah membuka matanya lebih-lebih lagi dalam melibatkan diri bagi sesi pemilihan tersebut.

    “Saya bertuah dipertemukan dengan ramai pengarah, pelakon dan penerbit filem yang sangat komited dengan kerjaya dan mereka tidak lokek berkongsi pengalaman.

    “Tidak ketinggalan, saya berpeluang pergi ke acara parti selepas Anugerah Akademi dianjurkan,” ujarnya gembira.

     

     

    Selepas ini, pelakon kelahiran Ipoh, Perak itu juga bakal melebarkan sayapnya ke peringkat yang lebih tinggi .

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments