Suami kentut di muka isteri didakwa hari ini

4403

 

KUALA LUMPUR 15 Mac – Seorang penghantar surat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ampang dekat sini hari ini atas tuduhan dengan sengaja mendatangkan kecederaan terhadap isterinya yang mencemuhnya kerana membuang angin di hadapan muka mangsa, awal tahun lalu.

Mohd. Nizam Uri, 33, didakwa melakukan perbuatan itu terhadap Alimaton Ali, 40, di sebuah rumah di Jalan 2/7, Taman Dagang, dekat sini kira-kira pukul 11.30 pagi, 1 Januari 2017.

Pertuduhan dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Raihanah Abdul Razak mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun.

Pihak pendakwaan sebelum itu mencadangkan jaminan RM8,000 dengan seorang penjamin namun Mohd. Nizam yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana dia merupakan penanggung tunggal keluarga.

Majistret Haslinda A. Raof membenarkan tertuduh diikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 April ini untuk sebutan semula kes.

Difahamkan tertuduh bertindak mencederakan mangsa yang juga pengadu dalam kes ini selepas isterinya menyuruh tertuduh pergi ke kedai untuk membeli gas kerana hendak memasak. Kemudian tertuduh telah berdiri membelakangkan punggungnya ke arah muka mangsa dan kentut di hadapan isterinya.

Pengadu telah memanggil tertuduh dengan perkataan kesat dan secara tiba-tiba tertuduh berang lalu bertindak agresif dengan menampar muka isterinya berkali-kali dan menumbuk seluruh anggota badan selain menghantukkan kepala mangsa ke dinding.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments