Cubalah pujuk ibu saya – Altimet

    84

     

    KUALA LUMPUR: Biarpun merangkul trofi kategori Persembahan Terbaik menerusi lagu Amboi pada Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-32, Altimet tetap meneruskan hasrat berhenti menyanyi sebaik usia menginjak 40 tahun pada 27 November depan.

    Komposer, penyanyi hip hop dan rap terkenal itu menganggap kejayaan pada acara anugerah muzik berprestij itu sudah mencukupi buat karier nyanyiannya.

    “Saya percaya, Allah beri kemenangan ini bererti cukup-cukuplah saya menyanyi. Saya tidak akan ubah pendirian itu. Saya hanya mampu memanjat kesyukuran atas nikmat ini kepada Tuhan.

    “Cukuplah malam Ahad lalu saya melabuhkan tirai membuat persembahan di AJL 32. Saya percaya masih tidak ada rapper yang bertanding di pentas itu sebanyak saya.

     

     

    “Bukan nak riak, tapi ini semua isyarat daripada-Nya untuk saya berundur dan memberi laluan kepada yang lain,” katanya.

    Lagu Amboi ciptaan Navigator dan lirik dihasilkan Altimet adalah pertaruhan keempat Altimet di pentas AJL.

    Ketika beraksi malam tadi, Altimet ‘menggegarkan’ Axiata Arena, Bukit Jalil dengan persembahan bertenaga. Kemunculan aktres, Nabila Huda yang melakonkan watak ‘Makcik’ membuatkan penonton berdiri dan bersorak.

    Sebelum ini, Altimet tampil dengan lagu Kalau Berpacaran berganding dengan Ana Raffali dan Suhaimi Mior Hassan pada AJL 26. Ini diikuti Kalau Aku Kaya bersama Awi Rafael (AJL 28) dan Not For Sale dengan Stacy (AJL 30).

     

     

    Altimet atau nama sebenarnya, Ahmad Abdul Rahman berkata, dia berharap ada rapper lain yang akan memecahkan rekodnya bertanding empat kali pada AJL.

    “Terima kasih kepada yang mengundi lagu Amboi hingga menang kategori Persembahan Terbaik. Terima kasih juga kepada kawan-kawan yang menjayakan persembahan lagu Amboi,” katanya

    Sambil berseloroh, Altimet berkata, jika ada peminat mahu membantah keputusannya berhenti menyanyi melalui petisyen, dia sebaliknya menyarankan pungutan suara itu ditujukan kepada ibunya, Jamalah Agil Alsagoff.

    “Kalau ada yang nak halang persaraan saya di pentas seni, cubalah pujuk ibu saya… Bukankah syurga itu di bawah telapak kaki ibu. Jadi, siapa tahu saya boleh ubah keputusan itu,” katanya.

    Altimet yakin banyak bidang baharu boleh diterokanya selepas berhenti menyanyi.

    Namun, katanya, bidang penciptaan lagu tidak akan ditinggalkan. Altimet sedia berkongsi bakat dengan menghasilkan karya untuk penyanyi lain.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments