Pemandu Myvi langgar lari dipukul orang ramai di LDP

98

 

 

PUCHONG – Lelaki didakwa terbabit dalam kes langgar lari di Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), dekat Batu 13, Subang Jaya, 7 malam semalam sehingga video dia dipukul dan cedera di muka tular di laman sosial membuat laporan polis.

Lelaki berusia 39 tahun itu bukan saja membuat laporan polis kerana dipukul, malah membuat laporan, barang miliknya, antaranya telefon pintar, Smart Tag, dompet, dokumen peribadi dan kunci kenderaan serta kunci rumah di dalam kereta Myvinya, hilang.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, siasatan awal dilakukan mendapati kejadian berlaku berpunca daripada tindakan pengadu yang melanggar motosikal Honda Wave menyebabkan penunggang motosikal cedera di rusuk.

“Susulan kejadian itu dia dikejar orang awam sebelum dipukul di tepi jalan sehingga cedera.

“Malah barangan milik lelaki itu antaranya telefon pintar, Smart Tag, dompet, dokumen peribadi dan kunci kenderaan serta kunci rumah turut hilang.

“Polis akan mengenal pasti dan mengesan suspek serta saksi awam di dalam rakaman video ketika kejadian yang tular di media sosial terbabit untuk siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan kerana samun mendatangkan kecederaan,” katanya menerusi satu kenyataan, hari ini.

Katanya, pihaknya turut menerima laporan daripada pihak penunggang motosikal terbabit dan mangsa kini masih menerima rawatan di Hospital Serdang.

“Siasatan berhubung kemalangan itu turut dilakukan mengikut Seksyen 4(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Metro

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments