Mahathir tidak kawal Pakatan Harapan!

141

KUALA LUMPUR – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Nurul Izzah Anwar menegaskan mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad tidak akan sama sekali dapat mengawal Pakatan Harapan.

Bagi beliau Pakatan Harapan tidak pernah menyertai Mahathir, sebaliknya Mahathir dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) yang menyertai Pakatan Harapan selepas menerima setiap prinsip gabungan parti pembangkang yang diketuai DAP itu.

Ahli Parlimen Lembah Pantai itu malah mendakwa bapanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang sedang menjalani hukuman penjara masih ketua intelektual dan falsafah kepada gabungan parti pembangkang tersebut.

“Jika dia (Anwar) bukan banduan politik, dia yang akan menjadi ketua rasmi dan calon Perdana Menteri.

“Mahathir dan PPBM yang datang kepada kami. Mahathir sertai Pakatan Harapan dan mengikut semua prinsip dan polisi Pakatan Harapan yang kebanyakannya dibuat oleh Anwar,” tegasnya dalam satu kenyataan di Facebook hari ini.

Kenyataan Nurul Izzah mengenai bapanya seorang banduan politik itu bagaimanapun bercanggah dengan fakta Anwar dijatuhi hukuman penjara selama lima tahun oleh mahkamah kerana meliwat pembantu peribadinya.

Naib Presiden PKR itu seterusnya mengaku beliau secara jujur tidak tahu niat sebenar Mahathir menyertai Pakatan Harapan, tetapi mendakwa apa yang dilakukan Mahathir itu adalah perkara yang betul.

“Saya juga tidak tahu niat sebenar mereka yang menyebarkan perpecahan Pakatan Harapan, tetapi ia adalah salah,” dakwanya lagi.

Nama Anwar dalam Pakatan harapan yang terdiri daripada DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (PAN) kian suram sejak gabungan parti pembangkang itu disertai Mahathir dan parti baharunya, PPBM Mac tahun lalu.

Mahathir yang diketahui memiliki dana yang besar berjaya mengangkat dirinya sebagai Pengerusi Pakatan Harapan hanya selepas beberapa bulan menyertai gabungan parti pembangkang tersebut.

Beliau seterusnya berjaya melobi pimpinan tertinggi Pakatan Harapan supaya dicalonkan sebagai Perdana Menteri jika pembangkang menang PRU Ke-14 walaupun mendapat tentangan sebahagian besar penyokong pembangkang.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments