Reman Farid Kamil dilanjutkan sehari lagi

    106

    PETALING JAYA – Reman pelakon dan pengarah filem, Datuk Farid Kamil Zahari, yang dipercayai menampar seorang anggota polis trafik dan menendang dua orang awam, dilanjutkan sehari lagi.

    Perintah itu dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Hairul Azhar Mohd Ishak bagi membolehkan siasatan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, Seksyen 90 Akta Polis, Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 353 Kanun Keseksaan.

    Terdahulu, Farid Kamil yang tampil ceria dengan memakai kemeja warna kelabu tiba di kompleks mahkamah dengan kereta polis pukul 11.30 pagi, diiringi anggota polis ke kamar mahkamah untuk prosiding reman.

    Pelakon yang berusia 37 tahun tersebut dan juga merupakan suami kepada Datin Diana Danielle, 27, itu kemudian terus dibawa keluar dari kamar mahkamah berkenaan pada kira-kira pukul 12.32 tengah hari.

    Dalam kejadian pukul 1.20 tengah hari pada Khamis minggu lalu, pelakon terbabit dikatakan ke Balai Polis Kota Damansara di sini untuk membuat laporan berkaitan kes kemalangan jalan raya.

    Namun ketika sedang berurusan di kaunter balai terbabit, dia didakwa secara tiba-tiba menampar muka petugas lelaki yang menerima aduan itu, disaksikan beberapa anggota polis lain dan orang awam.

    Selain mencederakan seorang anggota polis berusia 24 tahun, dia dipercayai sempat menendang dua orang awam di tempat sama setelah menunjukkan mesej aplikasi WhatsApp mengenai ‘300 artis hutang ah long’.

    Kisah artis ini menjadi bahan jenaka netizen kerana pada bulan lalu beliau bertemu tokoh pembangkang, Tun Dr. Mahathir Mohamad yang memberi amanat khas untuk terus seru makruf dan cegah mungkar.

    Pelakon Azad Jazmin dan Azhan Rani dilihat hadir ke mahkamah untuk beri sokongan. Turut kelihatan di kompleks mahkamah, adik Farid Kamil, Fadzil Zahari yang juga suami kepada pelakon Yana Samsudin.

    Sebelum meninggalkan perkarangan mahkamah berkenaan, Farid Kamil sempat mengucapkan “thank you (terima kasih) semua” sebelum dibawa pergi oleh pihak polis.

    Comments

    PERINGATAN:

    New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


    comments