Pemandu lori mati ditetak 4 lelaki naik Myvi

83

 

Lelaki yang juga pemandu lori maut ditetak beberapa lelaki bertopeng ketika sedang makan di restoran di Sungai Sembilang, Jeram, Kuala Selangor, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Mohd Asri A Wahab berkata, siasatan awal mendapati ketika kejadian 9 malam itu, mangsa, S Mohan, 27 makan bersama tiga rakannya.

“Bagaimanapun, mereka didatangi empat lelaki yang menaiki Perodua Myvi dan turut memakai topeng serta berparang.

“Tiga rakan yang diserang berjaya melarikan diri, namun mangsa tidak sempat berbuat demikian dan menyebabkan dia ditetak kumpulan individu berkenaan,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima panggilan pada 9.45 malam.

“Mangsa yang parah dihantar ke Hospital Sungai Buloh, namun disahkan meninggal dunia pada 11.10 malam,” katanya.

Kata Mohd Asri, pihaknya masih menyiasat motif kejadian dan mengesan rakan mangsa bagi membantu siasatan.

“Kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya. – Metro

 

 

 

 

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments