Tun M kembali jadi PM berita buruk buat kaum india

72

KUALA LUMPUR – Keputusan Pakatan Harapan memilih Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri walaupun kononnya bersifat sementara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) adalah satu berita buruk buat masyarakat India negara ini.

Ketua Pemuda MIC, Datuk C.Sivaraajh berkata, seluruh masyarakat India masih mengingati apa yang telah Mahathir lakukan keatas mereka kerana kaum India paling terkesan sepanjang Mahathir mentadbir negara ini selama 22 tahun.

“Orang India masih ingat dasar pentadbiran 22 tahun Mahathir yang secara beransur-ansur menghancurkan bahagian ekonomi kaum India di negara ini.

“Ia juga adalah dasar yang akhirnya membawa kebencian (masyarakat India) terhadap kerajaan yang diterjemahkan di atas jalan raya melalui perhimpunan Hindraf pada tahun 2007.

“Pemimpin kaum India dalam Pakatan Harapan tidak mungkin berharap dapat menarik pengundi India dengan menjual visi mereka iaitu Mahathir akan kembali sebagai Perdana Menteri ketujuh kerana seluruh generasi kaum India menderita akibat peluang yang terhad disebabkan pentadbiran masa lalu,” bidasnya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sivaraajh mengingatkan, sepanjang tempoh Mahathir menjadi Perdana Menteri, jumlah kaum India sebagai doktor dan dalam bidang profesional lain dikurangkan bagi menghadkan peluang ekonomi kaum India di Malaysia.

Malah, kata beliau, Mahathir dalam ucapannya pada konvensyen Pakatan Harapan semalam hanya sedikit menyetuh tentang kaum India, sama seperti dasar yang beliau amalkan selama 22 tahun memerintah negara.

Justeru, kata beliau, masyarakat India kini terpaksa berjuang semula untuk bertempur dengan kerosakan yang pernah mereka alami iaitu Mahathir daripada dikembalikan oleh Pakatan Harapan.

Kata beliau, kaum India Malaysia ketika ini sebenarnya sangat beruntung kerana mempunyai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengambil berat kebajikan semua kaum di Malaysia.

Kata beliau, Najib mengambil langkah proaktif dalam menangani masalah yang dihadapi oleh kaum India dengan memperkenalkan Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) iaitu pelan realiti pertama untuk mensejahterakan masyarakat India di Malaysia.

Jelas beliau, ia juga merupakan dokumen rasmi pertama kerajaan Malaysia yang cuba meningkatkan status sosio ekonomi kaum India di negara ini yang tidak pernah wujud semasa zaman Mahathir.

“Orang India tidak boleh ditipu oleh janji-janji Mahathir mengenai masa depan mereka pada hari ini. Masyarakat India hanya perlu melihat tempoh 22 tahun Mahathir sebagai Perdana Menteri untuk mengetahui apa yang akan kerajaannya lakukan jika menang PRU14.

“Lagipun, Mahathir sendiri masih tidak percaya dia telah melakukan banyak perkara yang salah sepanjang beliau menjadi Perdana Menteri Sebelum ini.

“Sebaliknya, dengan pilihan raya hanya beberapa bulan lagi, ada yang pasti bertanya – apa yang berlaku kepada Deklarasi Gelang Patah Pakatan? Adakah mereka akan datang dengan dokumen lain untuk menarik bulu di mata orang India?” katanya.

Antara inisiatif Najib untuk kaum India sejak menjadi Perdana Menteri:

1. Dana RM20 juta untuk pendidikan tinggi sebagai mekanisme pendanaan Khas melalui Yayasan Indus.

2. Dana pusingan RM500 juta dan RM1.3 bilion telah dibelanjakan dalam dana untuk membantu usahawan India.

3. Kewujudan sekretariat khas untuk memperkasakan usahawan India di bawah Jabatan Perdana Menteri.

4. RM900 juta telah diperuntukkan bagi sekolah vernakular Tamil.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments