PKR bantah Tun M jadi PM

93

 

KUALA LUMPUR: PKR didakwa membantah pencalonan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri jika Pakatan Harapan diterajui DAP memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Utusan Malaysia hari ini dalam laporannya mempersoalkan siapa sebenarnya calon Perdana Menteri berikutan mesyuarat Majlis Pakatan Harapan semalam gagal mencapai kesepakatan berhubung perkara berkenaan.

Menurut laporan itu, walaupun dalam mesyuarat berkenaan difahamkan tiga parti iaitu DAP, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Parti Amanah Negara bersetuju memilih Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri, namun dibantah PKR.

Laporan itu menyebut, ia memandangkan PKR dikatakan masih berpegang kepada pendiriannya untuk melantik Dr Mahathir sebagai Perdana Menteri sementara, manakala Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai Timbalan Perdana Menteri.

“Kegagalan mencapai kata sepakat itu menyebabkan mereka terpaksa membatalkan pengumuman calon Perdana Menteri pada konvensyen pakatan berkenaan, Ahad ini.

“Perkara itu disahkan Dr Mahathir yang juga Pengerusi Pakatan Harapan dalam sidang akhbar selepas mesyuarat itu.

“Kata beliau, Pakatan Harapan akan mengumumkan perkara itu sebelum PRU-14, sekali gus mewujudkan spekulasi pencalonan bekas Perdana Menteri itu sebenarnya tidak direstui oleh Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” menurut laporan itu.

Utusan Malaysia turut melaporkan Biro Politik PKR sebelum ini dikatakan bersetuju Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri sementara dengan syarat.

Antaranya membebaskan segera Anwar dan melantik beliau sebagai Perdana Menteri baharu dalam masa enam hingga 12 bulan selepas Pakatan harapan mengambil alih kuasa. Bagaimanapun ia perlu mendapat restu Anwar.

Dr Mahathir sebelum ini juga pernah menegaskan sama ada beliau akan menjadi Perdana Menteri atau tidak, ia bergantung persetujuan keempat-empat parti dalam pakatan berkenaan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments