City nyaris tersingkir Piala Liga

60

 

Manchester City nyaris mengucapkan selamat tinggal kepada saingan Piala Liga apabila hanya berupaya mengatasi Leicester City menerusi penentuan penalti 4-3 di peringkat suku akhir sebentar tadi, tatkala Arsenal turut mara ke pusingan berikutnya.

Strategi Pep Guardiola yang merehatkan sembilan tonggak jelas hampir memakan diri apabila pendahulu Liga Perdana Inggeris (EPL) itu dilihat gagal mempamerkan taring sebenar sepanjang saingan yang menyaksikan kedua-dua pasukan terikat 1-1 selepas tamat tambahan masa.

Arsenal pula yang bertemu West Ham di Stadium Emirates, mudah merakam kemenangan 1-0, sekali gus memastikan dua aksi separuh akhir bakal berlangsung sengit apabila membabitkan empat pasukan ‘Big Six’ bola sepak Inggeris.

City dan Leicester yang pernah menjulang trofi berkenaan sebanyak tujuh kali tampil dengan motivasi tinggi sepanjang perlawanan itu meskipun Guardiola serta rakan sejawatnya, Claude Puel sekadar membariskan skuad kedua.

Di sebalik rombakan besar-besaran itu, The Citizens tetap tampil mengancam terutamanya menerusi bintang remaja England, Phil Foden yang memiliki dua peluang terbaik untuk mencetak nama selaku penjaring.

Dalam aksi itu, skuad kendalian Guardiola terlebih dulu di depan tuan rumah menerusi sentuhan Bernardo Silva pada minit ke-26, sebelum Leicester bangkit di babak kedua dengan penyerang gantian, Jamie Vardy menyamakan kedudukan 1-1 di hujung saingan untuk mengheret aksi ke masa tambahan.

Bagaimanapun, kebangkitan dramatik tuan rumah itu gagal diteruskan dalam penentuan penalti apabila Vardy dan Riyad Mahrez gagal menyempurnakan tendangan sekali gus memberi kelebihan kepada pelawat untuk mara ke separuh akhir.

Nasib berbeza pula dialami Arsenal apabila jaringan tunggal penyerangnya, Danny Welbeck pada minit ke-42 untuk meranapkan impian anak buah David Moyes di depan penyokong sendiri.

Dua lagi aksi suku akhir dijadualkan berlangsung awal pagi esok waktu Malaysia dengan Manchester United akan berkunjung ke Bristol City, sementara Chelsea bakal menanti kehadiran Bournemouth di Stamford Bridge. – AFP

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments