Netanyahu dakwa Bible wajarkan tindakan AS iktiraf Baitulmaqdis

53

 

 

PETALING JAYA: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu menggunakan Bible untuk mewajarkan keputusan Amerika Syarikat (AS) mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu negara Israel.

Netanyahu berkata, kitab suci Kristian itu dan tradisi lisan serta bertulis masyarakat Yahudi membuktikan penduduk Israel menganggap Baitulmaqdis sebagai ibu negara mereka sejak dahulu lagi.

“Kamu boleh membacanya dalam sebuah buku paling baik – ia dipanggil Bible,” katanya dipetik BBC.

“Kamu boleh membacanya dalam Bible. Kamu boleh mendengarnya dalam sejarah masyarakat Yahudi dalam seluruh diaspora kami…di mana lagi ibu negara Israel, kalau bukan di Baitulmaqdis?

“Lebih cepat rakyat Palestin menerima hakikat ini, lebih cepat kita boleh bergerak ke arah kedamaian.”

Bantahan penganut Kristian di Mesir

Penganut Kristian di Mesir bagaimanapun tidak bersetuju dengan kenyataan Netanyahu itu.

Gereja Ortodoks Coptic di Mesir menentang tindakan Donald Trump dengan berkata, Pope Tawadros II tidak akan menemui Naib Presiden AS, Mike Pence yang dijadualkan berkunjung ke negara itu, bulan ini.

“Keputusan Trump tidak mengambil kira perasaan jutaan orang Arab,” kata gereja itu dalam kenyataan dipetik Al Jazeera.

Presiden Lubnan, Michel Aoun yang dipetik Reuters menyifatkan keputusan Trump “berbahaya” kerana ia mengundur semula proses perdamaian yang diusahakan sekian lama.

Ramai paderi, penganut Kristian dan umat Islam di Palestin turut bersatu menentang keputusan Washington.

Pada 7 Disember lalu, Trump mengumumkan Kedutaan AS di Tel Aviv akan dipindahkan ke Baitulmaqdis, dalam langkah mengiktiraf kota suci kepada 3 agama itu sebagai milik Israel.

Netanyahu menyambut baik tindakan itu sebagai “peristiwa bersejarah”, tetapi protes besar-besaran diadakan di seluruh dunia, termasuk di Malaysia yang disertai ribuan orang berkumpul di luar Kedutaan AS di Jalan Tun Razak, Jumaat lalu.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments