Lesen remaja pandu lawan arah trafik dibatalkan – Menteri

15

Image may contain: one or more people, car and outdoor

 

PETALING JAYA: Pihak berkuasa membatalkan serta-merta lesen memandu remaja yang memecut melawan arah trafik di Lebuhraya Utara-Selatan, Selasa lalu, sehingga menyebabkan seorang maut dan 5 cedera, kata menteri pengangkutan.

Datuk Seri Liow Tiong Lai yang dipetik Sin Chew Daily berkata, kerajaan akan mengambil tindakan tegas terhadap pemandu yang menagih dadah dan memandu dalam keadaan mabuk.

Katanya, menagih dadah dan memandu dalam keadaan mabuk adalah kesalahan trafik amat serius, oleh itu pihak terbabit sudah mengambil langkah bagi mewujudkan keadaan lebih selamat di jalan raya.

Beliau berkata, pengguna juga bertanggungjawab memastikan keselamatan bersama di jalan raya dan Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) melalui mesyuarat minggu lalu memutuskan untuk mempertingkatkan tindakan penguatkuasaan dan akan melaksanakan 22 langkah keselamatan jalan raya.

Liow berpendapat kemalangan pada Selasa lalu adalah kes amat malang dan tidak sepatutnya berlaku.

Pagi tadi, Ng Pei Ven, 19, dari Butterworth didakwa mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Dia kemudiannya dibebaskan dengan jaminan RM5,000 selepas mengaku tidak bersalah atas tuduhan mengambil dadah berbahaya, sebelum kemalangan maut di Lebuhraya Utara-Selatan.

Pada jam 7.50 pagi Selasa lalu, Ng yang memandu Proton Gen-2 melanggar 3 kenderaan sebelum membuat pusingan U beberapa meter dari Plaza Tol Sungai Dua dan memecut melawan arah trafik sejauh 5km di Km 134 Lebuhraya Utara-Selatan di Seberang Perai Tengah.

Ia kemudiannya merempuh Perodua Kelisa yang dipandu pekerja kilang, Mohamad Fandi Rosli, menyebabkan bakal bapa berusia 26 tahun itu meninggal dunia di tempat kejadian.

Kereta dipandu remaja itu turut merempuh 5 kenderaan lain, termasuk sebuah van kilang dan motosikal.

Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine dan polis juga percaya pemandu dalam keadaan mabuk. Bagaimanapun, polis kelmarin berkata “ia bukan methamphetamine, sebaliknya hanya amfetamina”.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments