Propaganda Hartal 1947 menentang perlembagaan

 

KETIKA 10 tahun sebelum negara ini mencapai kemerdekaan, Tanah Melayu digegarkan dengan suara-suara rakyat yang bangkit menuntut kemerdekaan daripada pihak British.

Mereka sudah muak duduk dibawah penjajah dan sudah tiba masanya menuntut hak yang sudah lama diketepikan.

Maka tertubuhlah Pusat Tenaga Rakyat (PUTERA) yang merupakan sebuah parti campuran gerakan berhaluan kiri di Tanah Melayu pada 22 Februari 1947 diketuai Ishak Haji Muhammad atau Pak Sako juga mewakili Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) atau Parti Nasionalis Melayu (MNP).

Barisan PUTERA yang disertai oleh gabungan gerakan-gerakan berhaluan kiri Tanah Melayu

Barisan PUTERA yang disertai oleh gabungan gerakan-gerakan berhaluan kiri Tanah MelayuPUTERA juga hasil gabungan 6 parti politik berhaluan kiri seperti Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) diketuai Ahmad Boestamam, Angkatan Wanita Sedar (AWAS) dipimpin Shamsiah Fakeh, Gerakan Angkatan Muda (GERAM) bersama ketua mereka, Aziz Ishak dan Abdul Samad Ismail, Barisan Tani SeMalaya (BATAS) pula diketuai Musa Ahmad serta Majlis Agama Tertinggi SeMalaya (MATA) dibawah kepimpinan Hizbul Muslimin.

Gerakan-gerakan ini bergabung bersama Majlis Tindakan Bersama Se-Malaya (AMCJA) yang dianggotai parti bukan Melayu. PUTERA-AMCJA telah bersama-sama menolak gagasan Persekutuan Tanah Melayu, sebaliknya mereka mencadangkan Perlembagaan Rakyat yang meletakkan konsep rakyat sebagai asas kepada Tanah Melayu yang merdeka.

Pensyarah Jabatan Sejarah Asia Tenggara Universiti Sains Malaysia (USM), Dr Nazarudin Zainun berkata, Malayan Democratic Uninon (MDU) iaitu sebuah pertubuhan pelbagai bangsa tetapi bukan untuk Melayu ditubuhkan untuk menggunakan program Parti Komunis Malaysia (PKM) bersama Parti Nasionalis Melayu (MNP).

“Ia bertujuan menjadikannya sebahagian daripada Barisan Bersatu PKM (United Front) dengan matlamat untuk menentang perundingan antara British, Raja-Raja Melayu dan UMNO bagi menggantikan Malayan Union.

Dr Nazarudin Zainun“Menyedari bahawa bilangan orang Cina akan bertambah sekiranya digabungkan antara Tanah Melayu dan Singapura maka MDU menggesa supaya mewujudkan model kerajaan Republikan di bawah bendera Majlis Tindakan Bersama Pan Malaya (Pan Malayan Council for Joint Action – PMCJA).

“Namun, PMCJA terlalu jelas memperlihatkan mereka ini pro bukan Melayu. Kemudian pemimpin daripada sayap kiri menggesa MNP dibawah pimpinan Burhanudin Helmi menubuhkan PUTERA sebagai kenderaan baru sayap kiri yang mahu menubuhkan kerajaan Republikan seperti di Indonesia.

“PUTERA-AMCJA merangka sebuah Perlembagaan Rakyat sebagai persiapan untuk melawan Perjanjian Persekutuan Malaya yang sedang disiapkan oleh UMNO, Raja-Raja Melayu dan pihak British.

“Perjanjian Persekutuan dijangka menghadkan kewarganegaraan bukan Melayu bagi tujuan melenyapkan kebimbangan kumpulan majoriti Melayu sayap kanan yang bimbang kedudukan istimewa Melayu tergugat,” katanya kepada Malaysian Digest.

Maka pada 12 Disember 1946, pihak British telah mengumumkan perlembagaan selesai digubal dan bakal disiarkan untuk mendapatkan pandangan orang bukan Melayu.

Sebaliknya, AMCJA menentang perlembagaan itu sekaligus mengusulkan rangka Perlembagaan Rakyat daripada pihak PUTERA-AMCJA.

Berikut merupakan sepuluh prinsip teras Perlembagaan Rakyat :

1. Singapura hendaklah disatukan dengan Malaya.

2. Satu kerajaan pusat dan majlis-majlis negeri yang dipilih

3. Raja-raja Melayu akan mempunyai kuasa yang sebenar, bertanggungjawab kepada rakyat melalui Majlis Mesyuarat.

4. Satu perlembagaan baru bagi Malaya, menyediakan keistimewaan tertentu bagi kemajuan orang Melayu dari segi politik dan ekonomi.

5. Adat istiadat Melayu dan agama Islam dikawal sepenuhnya oleh orang Melayu melalui Majlis Khas.

6. Kerakyatan sama rata bagi semua orang yang menganggap Tanah Melayu tempat tinggal dan sanggup mencurahkan kesetiaan yang tidak berbelah bagi.

7. Bahasa Melayu haruslah menjadi bahasa kebangsaan dan rasmi yang tunggal di Malaya.

8. Pertahanan dan hal ehwal luar negeri haruslah menjadi tanggungjawab bersama kerajaan Malaya dan British.

9. Kerakyatan Malaya haruslah dinamakan Melayu.

10. Merah putih haruslah dimasukkan sebagai latarbelakang bendera kebangsaan Malaya.

Bagaimanapun, Perlembagaan Rakyat ini telah ditolak pihak British menyebabkan gerakan-gerakan berhaluan kiri melancarkan gerakan balas iaitu melalui penyebaran propaganda. Maka telah wujudlah istilah ‘Hartal’ bermaksud mogok umum sebagai bantahan terhadap sesuatu.

Contoh keratan akhbar mengenai Hari Hartal dimuka depan akhbar

Contoh keratan akhbar mengenai Hari Hartal dimuka depan akhbar

“Mereka menyebarkan propaganda melalui akhbar Suara Rakyat mengenai mogok yang bakal diadakan. Liputan propaganda berkenaan mogok itu dicetak secara meluas dan dinyatakan dalam akhbar-akhbar tempatan.

“Contohnya, pertubuhan buruh Malayan Rubber Workers telah menyatakan pendirian tegas mereka secara terbuka untuk melancarkan mogok di Johor, Pahang Barat, Negeri Sembilan, Perak dan Selangor pada 30 Ogos 1947,” katanya.

Walaupun mereka mendapat liputan secara meluas, hakikatnya masih tiada bukti yang jelas menunjukkan Hartal 1947 benar-benar berjaya mendapat sokongan daripada suara majoriti rakyat Tanah Melayu.

“Sebenarnya, tindakan mereka ini hanya mendapat perhatian dalam kalangan golongan pergerakan sahaja sedangkan golongan lain dan rakyat biasa tiada mempunyai sebarang pengaruh yang signifikan.

“Hartal ini cuma mendapat sokongan golongan kiri, kapitalis dan peniaga Cina ketika itu kerana mereka ada kepentingan dari segi ekonomi.

Rapat Umum yang diadakan oleh PUTERA-AMCJA

Rapat Umum yang diadakan oleh PUTERA-AMCJA“Namun, golongan lain tidak menunjukkan sebarang reaksi yang signifikan. Begitu juga dengan Perlembagaan Rakyat iaitu ia bukanlah sesuatu yang popular dan disensasikan.

“Ketika itu, hanya golongan tertentu sahaja yang betul-betul tahu. Cerita yang mengatakan ‘mogok umum’ ini adalah mogok mega sepanjang zaman juga tidak benar.

“Apa buktinya? Mogok itu nampak berkesan kerana peniaga menyokong Hari Hartal dan bersetuju untuk menutup perniagaan mereka.

“Namun, apakah rakyat ketika itu benar-benar tahu berlakunya Hari Hartal? Dari mana datangnya perkataan majotiti? Bagaimana ianya disukat? Apakah sumbernya dan bagaimana cara mengadilinya?,” soal Dr Nazarudin tegas.

Katanya, propaganda yang disebarkan ketika zaman itu disokong golongan peniaga kerana dalam kalangan mereka ini sokongan ada kepentingan.

Propaganda yang kononnya mengatakan Hari Hartal mendapat sambutan hebat di Tanah Melayu itu hanya wujud sekarang.

“Siapa yang mencatat dan membuat laporan tentang peristiwa tersebut? Apa persepsi mereka terhadap Hari Hartal? Pada masa itu, segala peristiwa dicatat golongan kolonial, maka tentu sekali catatan mereka mempunya agenda tertentu.

“Jika ramai orang mengatakan bahawa sejarah negara kita mematikan golongan berhaluan kiri di Tanah Melayu, mereka silap.

“Ada banyak tulisan mengenai gerakan berhaluan kiri dalam catatan kolonial. Kebanyakkannya dicatatkan dalam sudut pandang negatif, bersesuaian dengan sikap kolonial.

“Cerita mengenai Hari Hartal dan Perlembagaan Rakyat pun ada cuma agak sedikit dan sesuai dijadikan sebagai cerita latarbelakang dan dalaman sahaja.

“Ia tidak boleh diangkat sebagai cerita besar kerana usaha yang dibuat oleh gerakan kiri ketika itu terhenti dan tiada kesinambungan dan jangan lupa zaman itu sokongan terhadap gerakan berhaluan kiri dan komunis tidak kuat.

“Mereka tiada kekuatan. Hidup hanya saling bergantung kepada organisasi lain,” katanya.

Dr Nazarudin menyarankan supaya mereka yang benar-benar mahu mendalami sejarah tanpa mudah terpedaya dengan propagana pihak tertentu mereka haruslah mencari sumber yang berwibawa dan ditulis oleh sejarawan profesional.

“Jangan mudah percaya kepada bacaan dan pendapat picisan daripada orang yang menjadi sejarawan ekspres. Jika tahu mengenai sesuatu perkara haruslah disiasat terlebih dahulu sebelum anda mahu percaya dan menyebarkannya.

“Kita harus ingat, sejarah mesti ditulis berdasarkan kaedah yang baik, betul serta seobjektif mungkin,” katanya.

Bagi aktivis kemanusiaan Adam Adli, sejarah hanya dicatat orang yang menang dan hakikat ini wujud di mana-mana.

“Sejarah kemerdekaan misalnya adalah sejarah yang penting dan sangat besar. Ia wujud supaya kita dapat belajar daripadanya.

“Dari sejarahlah kemudiannya kita fahami siapa ‘baik’ dan siapa ‘jahat’. Jika sejarah kemerdekaan tidak berpihak kepada orang yang menang, tidak menamakan mereka sebagai pihak yang baik, apa guna ianya dicatat?

“Tentu sekali ia merugikan pihak yang mencatat sejarah tersebut. Sebab itu banyak perkara terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan. Banyak sejarah yang ditukar jalan ceritanya agar berpihak kepada sesetengah pihak.

“Misalnya, Hari Hartal adalah perjuangan mahasiswa era 70-an dan perjuangan kiri sebelum dan selepas kemerdekaan. Ini semua kerana ia merugikan pihak yang menang.

“Sejarah bagaimanapun tidak boleh dinafi dan disembunyikan selama-lamanya. Lambat laun pasti akan terdedah. Negara kita masih muda.

“Orang-orang yang menjadi latar kepada sejarah ini masih ada yang hidup dan boleh menceritakannya. Sayang sekali, mereka ini orang yang ‘kalah’ dan tumpas dalam perjalanan sejarah tersebut. Maka, suara dan cerita mereka tidak kedengaran.

“Jika mahu sejarah mereka didengari dan diambil nilainya, mahu tidak mahu mereka perlu menang. Itu sahaja,” katanya.

Ditanya mengenai adakah benar jika Perlembagaan Rakyat diluluskan, negara kita akan merdeka lebih awal dan bagaimana bentuk sokongan rakyat Tanah Melayu sewaktu perlembagaan itu diusulkan.

Katanya, dia tidak hidup di zaman itu, maka tidak boleh mengatakan yang cukup pasti tentang apa yang berlaku di zaman Perlembagaan Rakyat dan Hartal.

“Namun saya antara yang bertuah apabila diberi peluang untuk bertemu dengan orang-orang yang terlibat dengan sejarah tersebut. Berdasarkan apa yang diceritakan oleh mereka misalnya, kita fahami bahawa Hartal yang berlaku pada 1947 itu sangat berjaya dan disambut seluruh negara.

“Pekara yang penting tidak disedari adalah Hartal berjaya kerana wujud kerjasama yang pelbagai, bukan hanya daripada organisasi kiri, sebaliknya juga daripada pertubuhan-pertubuhan lain termasuklah kesatuan perniagaan, pekerja dan ormas-ormas berbilang ideologi.

UMNO terkenal dengan sikap mesra British sewaktu Tanah Melayu belum merdeka

UMNO terkenal dengan sikap mesra British sewaktu Tanah Melayu belum merdeka“Perlembagaan Rakyat juga adalah manifesto penting yang membuktikan bahawa sudah pun wujud gerakan yang benar-benar serius dalam memerdekakan negara daripada British dan tentu sekali Perlembagaan Rakyat tidak boleh diterima orang putih.

“Ianya bercanggah dengan polisi dan kehendak kolonial yang masih mahukan kepentingan ekonomi mereka terjamin walaupun tidak lagi secara fizikal berada di Tanah Melayu.

“Jika diterima, kita mungkin sudah merdeka lebih awal dan tidak duduk di bawah sistem yang sama seperti diamalkan hari ini,” katanya.

Adakah rakyat Malaysia menyedari wujudnya Hari Hartal ini begitu yakin bahawa itu bukanlah sebuah bentuk propaganda untuk menukar jalan cerita?.

Manusia biasanya lebih mudah dipengaruhi oleh ‘cakap mulut’ berbanding membaca serta mengkaji sejarah sebenar. Tiada fakta dan tiada bukti tetapi sebuah propaganda.

Ujarnya. ironinya sejarah negara kita ini terpaksa disembunyikan daripada pengetahuan umum supaya tidak disebarkan dan diajar secara rasmi.

Buktinya, wujud catatan dan dokumen yang berkaitan dengan sejarah yang hilang ini di banyak perpustakaan dan arkib seluruh dunia.

“Malah, di negara kita sendiri, ia cuma disembunyikan daripada dibincangkan dan ‘digantikan’ dengan versi rasmi yang diajar di sekolah.

“Misalnya dalam sistem pendidikan, kita tidak menggalakkan pelajar untuk memahami secara menyeluruh dan mendalami tentang ‘Apa Di Depan Mata’

“Kita boleh bezakan antara propaganda dengan sejarah sebenar melalui perbandingan dan kajian yang mendalam. Bukan sekadar mempercayai sebulat-bulatnya apa yang disebarkan kepada kita.

Adakah sejarah yang kita tahu itu benar-benar berlaku atau sekadar propaganda?

“Propaganda adalah strategi perang. Antara cara untuk mengenalpasti suatu propaganda adalah dengan bertanya, siapa untung? ‘Cui Bono?’

“Jika tiada pihak yang mendapat untung, maka harus kita selidiki apa sebenarnya mesej disebalik sebaran tersebut. Adakah ia propaganda, atau kebenaran yang cuba didedahkan?” Tambah beliau lagi,” katanya.

Sebagai seorang aktivis muda, apakah seruan Adam menyarankan rakyat memahami fungsi sebuah kerajaan dan apa perkara yang disembunyikan seperti korupsi dan salah guna kuasa.

“Dari situ kita akan fahami sikap dan wajah sebenar sebuah kerajaan yang wujud hari ini. Buku sejarah yang diajar adalah yang diluluskan oleh kerajaan.

“Dalam erti kata lain, ia boleh jadi juga satu bahan propaganda oleh mereka.

“Daripada situ, cari apa yang disembunyikan. Belum terlambat untuk mencari kerana apa yang kita perkatakan hari ini, sejarah masih boleh direka.

Merdekalah Tanah Melayu dalam dakapan pada 31 Ogos 1957

Merdekalah Tanah Melayu dalam dakapan pada 31 Ogos 1957

“Apa yang kita baca hanya sebahagian kisah sejarah. Kebenaran itu wujud jika dicari. Ia tidak gugur dan datang sendiri.

“Sejarah adalah kutipan pengalaman dan jika kita tak mampu untuk memahami pengalaman tersebut, mungkin kita perlu lalui pengalaman tersebut sendiri,” katanya.

Kini usia Malaysia sudah mencapai 58 tahun selepas mencapai kemerdekaan.

Hakikatnya, perjuangan gerakan berhaluan kiri suatu masa dahulu tidak seharusnya dinafikan kerana biarpun mereka di pihak yang kalah. Namun, tanpa desakan dan suara mereka, mungkin British masih hidup selesa di tanah bertuah ini bersama UMNO yang ketika itu adalah parti Pro British.

Bagaimanapun, apabila melihat tahap sivik masyarakat kita pada masa kini, ternyata perlembagaan warisan penjajah lebih releven untuk terus kekal serta dilaksanakan.

Ianya agak ‘strict’ dan rumit tetapi jika dibandingkan dengan usul-usul Perlembagaan Rakyat suatu masa dahulu, mungkin negara kita tidak akan seperti sekarang.

Kedudukan Melayu masih dilindungi dan Islam masih menjadi agama rasmi. – Malaysian Digest

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments