Hishamuddin Rais menggalakkan anak muda yang diburu polis, lari keluar negara

54

hisham raisAktivis PKR Hishamuddin Rais berkata dia menggalakkan anak muda yang diburu polis, lari keluar Negara

KUALA LUMPUR – Golongan muda digalakkan supaya lari keluar negara dan mencari suaka politik jika dizalimi kerajaan pemerintah seperti Ali Abdul Jalil dan Alvin Tan, kata aktivis politik Hishamuddin Rais yang pernah melarikan diri ke luar negara ketika diburu pada tahun 1970-an semasa masih merupakan seorang aktivis, lapor themalaysianinsider

Hishamuddin berkata, tindakan Ali dan Tan melarikan diri daripada kezaliman dan mencari sokongan luar tidak salah di sisi undang-undang, malah pernah dilakukan pejuang kemerdekaan terdahulu untuk membebaskan Malaya daripada penjajah seperti Shamsiah Fakeh dan Mokhtaruddin Lasso.

“Saya galakkan anak muda yang buat protes kalau lihat kerajaan zalim dan diburu polis, lari keluar negara beramai-ramai,” katanya dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider.

“Kemudian buat kumpulan suaka politik di Eropah dan gegarkan dunia luar seperti anak muda di Iran, Turki dan Eropah supaya mereka lihat kezaliman di Malaysia.”

Ali pada Oktober lalu melarikan diri ke Sweden selepas menghadapi tiga tuduhan mengikut Akta Hasutan 1948 kerana menghina kerabat diraja Johor dan Sultan Selangor dalam media sosial Facebook.

Manakala Tan, penulis blog seks, sebulan sebelum itu mencari suaka politik di Amerika Syarikat selepas menghadapi pertuduhan mengikut Akta Hasutan kerana memuat naik status “berbuka puasa dengan Bah Kut Teh” serta Akta Penapisan Filem kerana memuat naik bahan lucah bersama bekas kekasihnya, Vivian Lee.

Namun bagi Hishamuddin, 63, beliau memberi jaminan tidak akan mengulangi perbuatan sama buat kali ketiga dengan melarikan diri keluar negara, malah bersedia menghadapi hukuman jika didapati bersalah mengikut Akta Hasutan 1948.

Pengarah filem “Dari Jemapoh ke Manchestee” itu pernah ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dua kali selepas 20 tahun hidup dalam buangan di Eropah pada tahun 1994 dan 2001.

“Saya sudah lakukannya ketika umur 21 tahun. Saya akan terima akibatnya, tidak ada masalah besar,” katanya sambil ketawa.

Hishamuddin bersama lima aktivis lain pada 29 Mei tahun lalu didakwa memberi ucapan berbaur hasutan apabila menyeru rakyat menolak keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) dan menyeru keluar ke jalan raya membantah penipuan pilihan raya.

Ucapan itu dibuat dalam satu program pada 13 Mei, 2013 di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan.

Beliau diarahkan supaya membela diri pada 13 November ini di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur selepas pendakwa raya berjaya membuktikan wujudnya keraguan munasabah.

“Saya dah masuk banyak penjara, di Australia, di India dan pernah ditahan di Moscow.

“Di Malaysia, penjara Taiping, Kamunting, Dang Wangi, dan hampir seluruh penjara pantai barat sudah saya rasai, untuk saya bukan sesuatu yang menakutkan.

“Sekali pun dipenjara saya hanya hilang kebebasan tetapi apakah saya berubah tentang kerajaan zalim? Tidak. Pandangan itu masih sama cuma kehidupan saya sahaja yang terkurung,” katanya.

Menganggap dirinya sebagai “mangsa sampingan” pembunuhan karier politik pembangkang bersama N Surendran, Teresa Kok, Chua Tian Chang, Khalid Samad dan RSN Rayer yang turut didakwa mengikut akta sama, Hishamuddin mengatakan hukuman penjara tidak akan menghentikannya daripada terus menulis dan bercakap mengenai perjuangan menentang kerajaan Umno.

Katanya, pertama kali dalam sejarah apabila begitu ramai ahli politik dan aktivis ditahan mengikut Akta Hasutan 1948, satu undang-undang yang tidak pernah diluluskan di Parlimen kerana kewujudannya digubal untuk menentang nasionalis dan dipinda pada tahun 1970 selepas peristiwa hitam 13 Mei.

Namun, beliau sama sekali tidak pernah menyesal dengan peranannya selama ini yang mahu melihat kerajaan pemerintahan Umno sejak 1957 berakhir.

“Saya bangga dilihat sebagai ancaman kerana kalau tidak kewujudan saya tak berguna. Saya bangga mengancam kerajaan zalim.

“Saya secara terbuka memang bercita-cita untuk menjatuhkan kerajaan Umno. Kalau saya (dilihat) mengancam ertinya cita-cita saya tercapai.”

Katanya, tempoh hukuman maksimum tiga tahun penjara tidak akan mematahkan semangatnya dan yakin pelapis aktivis muda lain sudah bersedia menyambung perjuangannya.

Melihat insiden rempuhan pagar di Universiti Malaya (UM) malam 27 Oktober lalu semasa pidato “40 tahun: dari Universiti Malaya ke penjara” anjuran Persatuan Mahasiswa UM (PMUM), Hishamuddin yakin kelahiran lebih ramai pejuang pelapis untuk menuntut perubahan.

“Jika ini harga yang perlu dibayar datanglah penjara (atau) tali gantung, perjuangan ini tetap disambung,” katanya.

Beliau yang  turut menulis di blog Tukar Tiub itu berkata, tidak seperti negara lain, negara ini mempunyai gerakan revolusi yang berbeza iaitu dengan berjuang mendapatkan hak kebebasan bersuara yang sering ditindas dan disekat menggunakan undang-undang zaman penjajah.

Katanya, rakyat tidak perlu mengikut jejak langkah “Arab Spring” kerana berada dalam sistem pemerintahan yang zalim, hak untuk bercakap benar dianggap satu perjuangan revolusi.

“Di Malaysia bercakap benar adalah tindakan revolusi. Kalau negara zaman kolonial atau di Palestin angkat senjata adalah tindakan revolusi.

“Jika majoriti rakyat bercakap benar maka kerajaan ini akan berakhir, malangnya terlalu ramai rakyat Malaysia yang baik dengan tidak melakukan sedemikian.”

Ketika ditanya tentang rayuan terakhir kes Liwat II Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berakhir Jumaat lalu beliau berkata: “Saya percaya Anwar akan dipenjara, malah saya menggalakkan kerana jika dia dipenjara, dia akan kumpulkan rakyat untuk menjayakan reformasi.

“Sama ada berjaya atau tidak itu satu perkara lain,” katanya.

Bagaimanapun Hishamuddin melihat impaknya mungkin berbeza berbanding kes Liwat I pada tahun 1998 dan akan mengambil masa menjadi satu gerakan tersusun sebelum satu pergolakan besar kembali berlaku.

“Jika Anwar dipenjara maka akan timbul satu kesedaran baru. Satu pergolakan akan kembali berlaku kerana Anwar bukan sahaja ahli politik malah beliau adalah satu figura antarabangsa.

“Dia akan jadi berita dunia. Akan terjadinya gelombang tapi tidak secara spontan seperti tahun 1998,” katanya yang menjangkakan lebih ramai penyokong akan berkumpul di perkarangan Istana Kehakiman Putrajaya semasa hari penghakiman berbanding sambutan sepanjang prosedur kes.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments