Geng curi motosikal diberkas

curi moto2KEMAMAN – Seorang buruh dipercayai ahli geng curi motosikal diberkas bersama sebuah motosikal curi dan sejumlah komponen kenderaan itu dalam serbuan di sebuah rumah di Rumah Murah Kemasik, di sini, kira-kira jam 10 pagi semalam.

Dalam serbuan yang dilakukan enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah diketuai Asisten Superintendan Mohamed Zakaria, polis turut merampas sejumlah 14 biji pil kuda daripada suspek yang berusia 33 tahun.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Che Suza Che Hitam berkata, suspek tinggal bersama bapa mertua, isteri serta tiga anaknya dan selepas pemeriksaan dilakukan, polis menjumpai komponen motosikal yang disimpan di bahagian luar rumah.

“Motosikal yang dirampas ialah jenis Modenas Kriss yang dilaporkan hilang di Kuala Terengganu pada 2004 dan kita percaya kesemua komponen motosikal yang ditemui itu adalah daripada motosikal curi yang dileraikan.

“Kita percaya suspek melakukan jenayah ini secara berkumpulan dan aktif sejak enam bulan lalu di sekitar Kemaman dan daerah berdekatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman, Chukai, semalam.

Che Suza berkata, tangkapan dilakukan hasil risikan Bahagian Siasatan Jenayah Daerah dalam usaha menangani masalah kecurian motosikal yang menjadi 50 peratus penyumbang kes jenayah di Kemaman.

Dalam pada itu, katanya, hasil ujian air kencing yang dilakukan, suspek turut positif methamphetamine, manakala pil kuda yang dirampas bernilai RM420.

Menurutnya, semua kes berkenaan akan disiasat mengikut Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana curi motosikal dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 serta Seksyen 15(1)(a) kerana memiliki dadah dan memasukkan dadah dalam badan.
4 motosikal dicuri kelmarin

Dalam perkembangan sama, Che Suza berkata, kes kecurian motosikal semakin menjadi-jadi apabila sebanyak empat motosikal dilaporkan dicuri di lokasi berasingan seluruh daerah ini, kelmarin

Katanya, kes kecurian itu berlaku di tempat letak kenderaan di Pusat Beli Mesra Mall Kemasik; Batu 16 Jalan Air Putih; Jalan Pupuk Semangat Teluk Kalong dan Felda Neram 1.

“Purata dalam sehari antara satu hingga dua motosikal dilaporkan hilang. Lokasi yang paling kerap terjadi kes ini sebelum ini ialah di kawasan parkir Mesra Mall Kemasik dan Kompleks Beli Belah Centre Point Chukai.

“Kita berjaya kekang kes kecurian daripada terus berlaku apabila kita pasang perangkap. Namun, sekarang sedikit sukar kerana kes kecurian ini merebak dan turut berlaku di kawasan luar bandar dan perkampungan,” katanya.

Menurutnya, punca utama kecurian berlaku kerana penunggang tidak mengunci motosikal, meninggalkan kunci pada motosikal dan tidak menggunakan kunci tambahan menyebabkan motosikal mereka menjadi mangsa penjenayah.
Dua geng curi motosikal tumpas

Beliau berkata, setakat ini, sebanyak dua geng curi motosikal berjaya ditumpaskan dalam tempoh sembilan bulan tahun ini.

Malah katanya, polis kini sudah mengenal pasti dua lagi kumpulan yang aktif mencuri motosikal dan akan memberkas mereka.

“Hasil risikan yang dilakukan, kebanyakan ahli geng curi motosikal ini terdiri daripada golongan remaja berusia antara 18 hingga 20 tahun, malahan ada juga pelajar sekolah terlibat.

“Kita turut mengadakan pemantauan berterusan di bengkel motosikal bagi mengesan penjualan komponen motosikal ini,” katanya.

Berikutan itu, beliau turut meminta kerjasama ibu bapa supaya mengawasi tindak-tanduk anak masing-masing bagi mengelakkan mereka terjebak dengan jenayah curi motosikal.

“Ibu bapa perlu mainkan peranan, sekiranya melihat anak secara tiba-tiba membawa pulang motosikal, ia mungkin motosikal curi, jadi ibu bapa perlu lebih prihatin,” katanya.-Sinar Harian

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments