Didakwa Seludup Pak Belang

pak belangPASIR MAS – Seorang lelaki berusia 47 tahun dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam, atas lima pertuduhan menyeludup haiwan liar menggunakan sebuah kereta sewa pada 9 September lalu.

Haiwan tersebut ialah seekor harimau belang dan empat ekor harimau kumbang yang dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716).

Tertuduh, Mohamed Saharil Mat Adam, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap lima pertuduhan yang dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Irwan Suaibon.

Bagi pertuduhan pertama, Mohamed Saharil didakwa menyimpan bangkai seekor harimau belang (Panthera Tigris) berukuran 263 sentimeter (sm) di dalam but belakang kereta jenis Proton Iswara, kira-kira jam 9 malam pada 9 September lalu di Kampung Padang Rokma, Wakaf Bharu, Tumpat.

Bagi pertuduhan kedua, ketiga, keempat dan kelima pula, tertuduh didakwa memiliki seekor harimau kumbang (Panthera Pardus) sepanjang 192 sm, 222 sm, 218 sm dan 209 sm pada tarikh, waktu dan tempat yang sama di dalam but dan ruang tempat letak kaki bahagian penumpang belakang.

Semua haiwan tersebut adalah hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya dan disenaraikan dalam Jadual Kedua, Kelas Mamalia, Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) tanpa permit khas.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 68(2)(c) akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum denda tidak kurang daripada RM100,000 dan tidak lebih daripada RM500,000 dan penjara dalam tempoh tidak melebihi lima tahun.

Kes pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Julia Ibrahim dan mencadangkan jaminan RM250,000 terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, peguam bela, Ahmad Nizam Mohamed membuat rayuan wang jaminan dikurangkan dengan alasan isteri tertuduh tidak bekerja dan menanggung lima anak yang masih bersekolah.

Hakim Irwan kemudiannya menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin.

Kes tersebut akan disebut semula pada 20 Oktober depan.

Tertuduh membayar wang jaminan RM50,000.-Sinar Harian

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments