2 pemimpin DAP digesa mohon maaf kepada Zambry

IPOH: Setiauasaha Pemuda MIC kebangsaan, C Sivarraajh mahu dua pemimpin DAP Perak memohon maaf kepada Menteri Besar dan seluruh masyarakat India negeri itu kerana mengeluarkan tuduhan tidak 1jdsdajdsdj;fbenar berhubung isu kelulusan tanah pertanian untuk sekolah Tamil.
Katanya, tuduhan yang dilemparkan Pengerusi DAP Perak, Datuk Ngeh Koo Ham dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungkai, A Sivanesan adalah antara usaha terdesak pihak pembangkang untuk menggagalkan pembangunan yang dirancang kerajaan Barisan Nasional (BN).
“Mereka mendakwa tanah untuk pembangunan sekolah Tamil tersebut diserahkan kepada ahli-ahli kroni yang tidak mempunyai kepentingan dalam kemajuan masyarakat India.
“Kenyataan ini sememangnya tidak benar dan sengaja direka pembangkang yang hanya mahu mengaut laba politik pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti,” tegasnya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.
Tambahnya, Koo Ham dan Sivanesan perlu menghentikan sikap rasis kerana ia sendiri cukup terserlah dalam tempoh 11 bulan pembangkang berkuasa di Perak.
“Semasa mereka berkuasa, kepentingan hanya diberi kepada pembangunan sekolah Cina saja dengan pemberian 1,000 hektar tanah tanpa mempedulikan sekolah lain.
“Selepas BN kembali memerintah, selaku Menteri Besar, Datuk Seri Zambry Abd Kadir telah membuktikan dirinya seorang pemimpin yang tidak gentar atau goyah dengan gangguan sebegini.
“Sebaliknya beliau memperlihatkan kesaksamaan antara kaum selepas kerajaan negeri meluluskan 800 hektar tanah untuk pembangunan sekolah Tamil,” ujar Sivarraajh lagi.
Mengulas lanjut, Sivarraajh turut memberitahu selepas pengambil-alihan pemerintahan daripada pembangkang, masyarakat India dapat menilai sendiri perbezaan antara pemimpin yang hanya mementingkan rakyat dengan pemimpin yang memfokuskan ‘political survival’ semata-mata.
Sementara itu, beliau juga menyifatkan kenyataan Sivanesan yang tidak mengenali Pengerusi Majlis Guru Besar Sekolah-sekolah Tamil Perak, S Muniandy sebagai sesuatu yang ‘melucukan’.
“Ini menunjukkan dia (Sivanesan) tidak mengambil tahu tentang pembangunan masyarakat India malah hanya mementingkan agenda politik saja,” katanya.
Sebelum ini, Sivanesan juga katanya, mempersoalkan pelantikan ahli lembaga Yayasan Pembangunan Pendidikan India Perak (YPPIP) yang diiktiraf dan dipilih sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
“Melalui penubuhan yayasan ini, kesemua 134 buah sekolah Tamil akan dapat dibangunkan secara konsisten serta dilengkapi kemudahan pendidikan terbaik tanpa perlu lagi memohon dana daripada kerajaan negeri atau Kementerian Pelajaran.
“Selain itu, keuntungan pelaburan akan dibahagikan secara adil kepada sekolah terbabit mengikut keperluan masing-masing,” tambahnya lagi.
Sivarraajh turut melahirkan penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Menteri Besar kerana mengambil langkah pro-aktif untuk memperkasakan sekolah Tamil dengan cara paling efektif.
“Saya percaya usaha murni ini dapat menyakinkan masyarakat India khususnya di Perak untuk terus menyokong kepimpinan BN,” jelasnya lagi.- Perak Today

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments