Menteri: DBKL roboh restoran, bukan kuil

Kuil-Kaliyaman-565x376-300x199Kementerian Wilayah Persekutuan memberi jaminan Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Jalan P Ramlee di Kuala Lumpur tidak akan dirobohkan.

Menterinya Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata malah pihaknya akan mencantikkan dan membina pagar bagi melindungi kuil berusia 101 tahun itu untuk memudahkan penganutnya melakukan upacara keagamaan.

Katanya, hanya struktur kantin dan restoran yang dibina secara haram di sebelah kuil itu akan dirobohkan.

“Kami tahu kuil ini merupakan tempat suci bagi masyarakat India di sekitarnya, kami bukan sahaja akan melindunginya malah akan membina pagar dan mencantikkan kawasan kuil,” katanya kepada pemberita selepas melawat Kuil Sri Muneswarar Kaliyaman di Kuala Lumpur, hari ini.

Turut hadir Timbalannya Dr J Loga Bala Mohan, Timbalan Presiden Parti Progresif Penduduk Malaysia (PPP) Datuk Maglin Dennis D’Cruz dan Pengerusi PPP Wilayah Persekutuan Datuk A. Chandrakumanan.

Semalam sekumpulan pegawai DBKL dihalang oleh anggota komuniti kuil itu serta beberapa pemimpin parti kaum India daripada cuba merobohkan penyambungan struktur haram di sebelah kuil itu.

– Bernama

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments