DAP bidas Maszlee tak beri peruntukan sekolah persendirian Cina

2746

Belum pun reda isu pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), dua pemimpin DAP hari ini ini membidas Menteri Pendidikan Dr Maszlee Malik kerana tidak memberikan peruntukan kewangan kepada Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC).

Ini selepas Maszlee, dalam jawapan bertulis kepada Datuk Seri Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam) di parlimen, mengatakan sekolah-sekolah berkenaan tidak termasuk dalam sistem pendidikan kebangsaan dan tidak akan menerima peruntukan kementerian.

“KPM tidak menyediakan peruntukan bagi sekolah dan murid yang belajar di Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC) kerana SMPC tidak digolong di bawah mana-mana kategori institusi pendidikan dalam sistem pendidikan nasional,” kata Maszlee.

Anggota Parlimen Ipoh Timor Wong Kah Woh mengingatkan Maszlee bahawa kerajaan Pakatan Harapan menyokong SMPC dan mengiktiraf UEC.

“Segala jawapan yang diberikan oleh menteri sepatutnya memaparkan kesediaan Kementerian Pendidikan untuk merealisasikan pembaharuan ini dan bukannya bergantung semata-mata kepada jawapan-standard-ala-BN,” kata ketua Pemuda Sosialis DAP itu dalam satu kenyataan yang disiarkan portal Malaysiakini.

Wong berkata walaupun SMPC bukan sebahagian daripada sistem pendidikan negara, sekolah itu memainkan peranan dalam mendidik pelajar dan ia harus diiktiraf.

Turut sependapat dengan Wong ialah Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bercham, Ong Boon Piow yang mengkritik Maszlee kerana lebih mendengar desakan “ibu bapa tertentu” untuk menukar warna kasut sekolah berbanding menjaga kebajikan sekolah Cina.

Dalam satu kenyataan, Ong berkata ramai ibu bapa daripada kaum Melayu dan India menghantar anak-anak mereka ke SMPC, manakala UEC diiktiraf secara meluas di peringkat antarabangsa.

“Menteri pendidikan dari HARAPAN tetapi jawapannya merosakkan dan tidak menghormati sekutu HARAPAN. (Langkah ini) mesti dikritik dalam HARAPAN,” katanya.

Beliau menggesa Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad agar meneliti semula sama ada Maszlee sesuai untuk terus memegang jawatan sebagai menteri pendidikan.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments