Gaji minimum RM1500 janji 5 tahun, bukan 100 hari

3444

Rakyat diminta tidak terlalu menuntut janji secara membuta tuli tanpa memikirkan soal sama ada janji berkenaan dilaksanakan selama 100 hari atau janji yang perlu mengambil masa.

Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Mahfuz Omar memberi contoh janji merealisasikan kadar janji minimum baru sektor swasta kepada RM1,500 sebulan seperti yang termaktub dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Katanya, janji itu tidak dilaksanakan dalam tempoh 100 hari pentadbiran.

Sebaliknya kata beliau, janji itu adalah untuk dikotakan dalam tempoh lima tahun pentadbiran.

“Perlu diperjelaskan kepada rakyat bahawa janji itu bukan untuk tempoh 100 hari tapi lima tahun dan apabila menjelang berakhirnya penggal, baru kita dapat fikirkan cara pelaksanaannya, tetapi buat masa ini kadar gaji minimum ini telahpun bermula dan akan dikaji semula setiap dua tahun,” katanya kepada pemberita di Kampung Padang Lalang di Alor Setar, hari ini.

Khamis lepas, Menteri Tenaga Manusia M Kulasegaran dalam Dewan Rakyat memaklumkan bahawa Majlis Perundingan Gaji Negara (MPGN) telah selesai menjalankan Kajian Semula Perintah Gaji Minimum 2016 dan syor kajian itu akan dibentangkan kepada kerajaan dalam tempoh terdekat.

Terdahulu, Mahfuz menyerahkan cek bayaran Faedah Pengurusan Mayat dari Skuad Prihatin Perkeso Kedah berjumlah RM2,000 kepada Salihah Che Pi, 54 yang kematian suami Johari Zakaria, 60, pada 17 Julai lalu selepas ditimpa bumbung kilang perabot dalam kejadian ribut di Jalan Gunung Keriang.

Turut hadir, Pengarah Perkeso Kedah Mamsor Abdul Manaf dan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Kesihatan dan Pembangunan Luar Bandar negeri Datuk Dr Ismail Salleh.

Sementara itu, Mahfuz berkata majikan wajib membuat caruman kepada pekerja kontrak dan sementara yang berada dalam sektor awam kepada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

“Ramai pekerja kontrak dan sementara yang masih belum dicarum mungkin kerana tidak tahu hak mereka selain takut untuk memaklumkan kepada pihak Perkeso kerana bimbang akan diambil tindakan oleh pihak majikan, sedangkan caruman ini penting untuk masa hadapan sekiranya berlaku kemalangan atau kematian.

“Pekerja juga tidak wajar diambil tindakan oleh majikan seperti menamatkan kontrak sekiranya membuat aduan kepada Perkeso kerana itu hak mereka.

“Saya akan akan maklumkan dan berbincang perkara ini dengan menteri supaya semua majikan terlibat akan membuat caruman kepada pekerja kontrak dan sambilan mereka,” katanya.

-Bernama

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments