Selepas 5 jam, soal siasat Rosmah selesai

4624

Rosmah Mansor, isteri bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak menghabiskan kira-kira lima jam di bangunan ibu pejabat SPRM di Putrajaya, yang mana beliau disoal-siasat mengenai isu syarikat SRC International.

Soal-siasat itu berlangsung sekitar tiga jam dengan Rosmah diberikan masa untuk rehat dan solat.

Rosmah berjalan keluar bangunan SPRM sekitar jam 3.45 petang tadi dan terus masuk ke dalam kereta tanpa bercakap kepada pemberita.

Awal hari ini, beliau tiba ke ibu pejabat SPRM menaiki kenderaan Mercedes Benz berwarna perak dengan plat pendaftaran WQF 11 sekitar jam 10.45 pagi dan terus masuk ke dalam bangungan.

Ini merupakan soal-siasat pertama isteri bekas perdana menteri itu dengan SPRM.

Rosmah yang hadir lengkap berbaju kurung biru dan berselendang merah turut diiringi anak perempuan beliau Nooryana Najwa Najib, menantunya Daniyar Keesibayev dan barisan peguam kanan, Datuk K Kumaraendran dan Datuk Geethan Ram Vincent.

Beliau hadir untuk memberi keterangan dan bagi membantu siasatan kes berhubung SRC International Sdn Bhd yang merupakan anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), dan ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Sejak awal pagi, media tempatan dan antarabangsa berada di perkarangan ibu pejabat SPRM bagi membuat liputan.

SRC International ialah anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB), sehingga ia diletakkan di bawah Kementerian Kewangan pada 2012.

Pada 26 Jan 2016, media melaporkan Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali mengesahkan bahawa tiada sebarang kesalahan jenayah dilakukan Najib berkaitan kes melibatkan dana RM2.6 bilion dan SRC International.

Sebelum itu Najib hadir dua sesi soal-siasat panjang SPRM mengenai dana SRC International yang mengalir masuk ke dalam akaun peribadinya.

“Siasatan (terhadap Rosmah) akan dilakukan secara menyeluruh,” kata bekas penyiasat dan pengarah perisikan SPRM, Datuk Abdul Razak Idris kepada AFP.

“Dia juga mungkin diminta untuk mendedahkan akaun banknya dan menjelaskan tentang sumber wang tunai dan barang kemas yang ditemui oleh polis di dua kondominium baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Datuk K Kumaraendran ketika bercakap kepada pemberita memaklumkan bahawa Rosmah telah memberikan kerjasama yang baik kepada SPRM.

“Datin Seri Rosmah telah selesai diambil keterangan selama tiga jam dan Datin Rosmah telah memberi kerjasama penuh kepada SPRM, begitu juga dengan SPRM,” katanya.

Bagaimanapun ketika diminta mengulas lanjut jika Rosmah akan kembali memberi keterangan, Kumaraendran enggan mengulas lanjut.

“Kita tak akan ambil soalan daripada pemberita,” katanya ringkas sebelum berlalu meninggalkan bangunan SPRM.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments