Remaja maut putus kemaluan diserang jerung

5380
Jose Ernestor da Silva meninggal dunia akibat serangan jerung di pantai Piedade.

Seorang remaja menemui ajal apabila diserang jerung ketika berenang di sebuah pantai di Brazil, lapor Daily Mail.

Lebih mengerikan, kemaluan mangsa, Jose Ernestor da Silva, 18, turut putus digigit haiwan itu.

Mangsa diserang jerung (tiger shark) ketika berenang bersama abang dan sekumpulan rakannya di pantai Piedade berdekatan bandar Recife.

Kejadian berlaku ketika da Silva dipercayai berenang di kawasan air dalam, jerung terbabit menyerangnya di saat pengawal pantai mengarahkan remaja itu supaya berenang tidak terlalu jauh.

Rakaman video menunjukkan remaja itu berada dalam keadaan nyawa- nyawa ikan ketika ditarik ke pantai oleh pengunjung.

Da Silva dikejarkan ke hospital dalam keadaan kritikal dan dilaporkan mengalami dua serangan jantung.

Meskipun menjalani pembedahan kecemasan selama tiga jam, remaja terbabit meninggal dunia tidak lama kemudian.

Ibu remaja terbabit, Elisangela dos Anjos, 42, berkata dia melarang anaknya pergi ke pantai tersebut berikutan serangan jerung April lalu yang mengakibatkan seorang pelancong kehilangan tangan dan kaki.

Insiden terbaru itu merupakan serangan ke-65 yang direkodkan di sepanjang pantai Pernambuco, Brazil sejak tahun 1992.

Lebih daripada 110 tanda amaran telah dipasang di sepanjang pantai di mana serangan berlaku.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments