Janji 100 hari ditangguh dahulu – Guan Eng

5450
Guan Eng berkata, Janji 100 hari ditangguhkan sementara menunggu kedudukan kewangan negara bertambah baik.

Di sebalik pelbagai desakan, kerajaan mengambil keputusan untuk menangguhkan sementara beberapa inisiatif di bawah Janji 100 hari dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-14.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng berkata, penangguhan itu dibuat sehingga keadaan kewangan negara bertambah baik.

Antara inisiatif yang akan ditangguhkan pelaksanaannya itu ialah pemberian subsidi petrol bersasar bagi kereta bawah 1300 cc dan motor di bawah 125 cc, skim caruman KWSP untuk suri rumah, peningkatan gaji minimum, penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN untuk graduan berpendapatan RM4,000 ke bawah sebulan dan pelaksanaan Skim Peduli Sihat.

Semua inisiatif itu kata beliau, hanya akan dilaksanakan kerajaan pusat apabila keadaan kewangan bertambah baik.

“Walaupun kerajaan ingin melaksanakan semua janji 100 harinya, namun kerajaan juga mempunyai tanggungjawab fiskal dan tidak akan mengulangi kesilapan kerajaan dahulu dengan menyebabkan masalah kewangan yang tentunya akan membawa negara ke arah muflis jika tidak dibendung.

“Kerajaan akan terus komited untuk memenuhi janji-janji manifesto apabila keadaan kewangan mengizinkan.

“Jika keadaan kewangan negara bertambah baik dalam tempoh 100 hari, kita akan laksanakan, tetapi jika tidak kita akan tunggu sehingga ia baik,” katanya pada sidang media di bangunan Kementerian Kewangan di Putrajaya, hari ini.

Mengenai harga runcit petrol, Guan Eng berkata harga petrol RON95 dan diesel dikekalkan pada harga semasa iaitu masing-masing RM2.20 dan RM2.18 seliter, manakala harga petrol RON97 pula akan ditetap berdasar harga pasaran dan disemak secara mingguan setiap Khamis bermula 7 Jun ini.

“Bagi cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan menggantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST), Rang Undang-undang Cukai Jualan 2018 dan Rang Undang-undang Cukai Perkhidmatan 2018 akan dibentangkan di Dewan Rakyat sebaik selesai Perbahasan Titah Diraja di dalam sidang Parlimen akan datang,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments