Undi popular BN merosot kepada 32 peratus

163

KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) semalam, menyaksikan Pakatan Harapan (PH) masih mampu mengekalkan penguasaan undi popular lebih 50 peratus di peringkat Parlimen, walaupun berdepan saingan tiga penjuru, hampir menyamai pencapaiannya dalam PRU-13 pada 2013.

Berdasarkan undi diperoleh bagi ketiga-tiga parti utama bertanding semalam, PH memperoleh keseluruhan 5,685,252 undi atau 50.1 peratus (%), berbanding Barisan Nasional (BN) 3,624,921 undi (32%) manakala PAS sebanyak 2,043,159 undi (18%).

Meskipun undi popular itu sebenarnya tidak menjadi asas dan penentu dalam kedudukan kerusi Parlimen bagi pembentukan kerajaan, namun ia menggambarkan tahap sokongan pengundi kepada parti yang bertanding dalam PRU.

Pencapaian PH terdiri daripada parti PKR, PPBM, DAP dan Amanah pada PRU-14 ini, boleh disifatkan lebih baik kerana mampu mempertahankan undi populariti lebih 50%, meskipun berdepan saingan sekurang-kurangnya tiga penjuru, tanpa bergantung kepada penyokong PAS seperti PRU-13.

Pada PRU-13 menyaksikan Pakatan Rakyat menerusi gabungan undi tiga parti iaitu PKR-DAP-PAS menguasai undi popular untuk pertama kalinya dengan peratusan mencecah 50.9 peratus berbanding BN hanya 47.4 peratus, dalam saingan secara langsung di kebanyakan kawasan Parlimen.

Ketika itu, sejumlah 5,623,984 undi memihak kepada Pakatan Rakyat pada 2013, manakala BN menerima undi sebanyak 5,237,699 undi.

Berdasarkan pencapaian semalam, Selangor kini bagaikan kubu kuat PH apabila menjadi deposit terbesar parti itu dengan penguasaan undi popular mencecah 65% berbanding BN (19%) dan PAS (16%).

Malah, Johor yang disifatkan kubu terakhir BN di Semenanjung juga runtuh ditakluki PH, dengan undi popular sebanyak 59%, berbanding BN (33%) dan PAS (8%)

Sabah dan Sarawak turut menyaksikan tsunami pengundi apabila kedua-dua negeri yang sekian lama dikenali sebagai deposit tetap penyelamat BN goyah pada PRU14.

Kubu kuat BN di Sabah dibolosi parti WARISAN yang menjadi penyumbang terbesar momentum penguasaan PH di negeri terbabit dengan menyaksikan 67% pengundi beralih arah, berbanding 32% kekal mengundi BN dan PAS (1%)

Manakala Sarawak, walaupun BN mengekalkan pemerintahannya di negeri terbabit namun parti itu kehilangan beberapa kerusi tradisi apabila PH turut memperluaskan penguasaannya dalam undi popular di sana.

Di negeri itu, PH merapatkan jurang undi popularnya sebanyak 348,803 undi atau mewakili 46 peratus undi popular berbanding BN sekitar 53 peratus atau 403,259 undi popular dan PAS satu peratus menerusi sumbangan 10,591 undi.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments