PAS tak kesal tinggalkan pakatan: Hadi

7100

KUALA TERENGGANU: “Kita tidak menyesal”.

Demikian jawapan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang terhadap persepsi banyak pihak bahawa partinya mungkin menyesal meninggalkan pakatan pembangkang sebelum ini, yang kini membentuk kerajaan Persekutuan selepas memenangi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Katanya, PAS sudah melalui banyak jatuh bangun dalam politik dan ia adalah perkara biasa termasuk kerjasama dengan pihak tertentu yang sentiasa berubah.

“Kita tidak pernah menyesal (tinggalkan pakatan pembangkang yang dulu dikenali sebagai pakatan rakyat).

“Kita pernah meninggalkan kerajaan, pernah dipecat daripada kerajaan, pernah kalah, pernah menang, rebah bangun dalam politik itu biasa sebab dalam politik ini sentiasa berubah.

“Kawan jadi musuh, musuh jadi kawan. Sebab itu kita tidak boleh berkawan sehingga melampaui batas dan tidak boleh bermusuh sehingga melampaui batas,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas selesai istiadat mengangkat sumpah jawatan dan watikah pelantikan menteri besar baharu serta 10 EXCO PAS di hadapan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Istana Syarqiyyah, Chendering di sini, malam tadi.

Pada istiadat itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengangkat sumpah jawatan sebagai Menteri Besar Terengganu ke-15, selepas PAS merampas buat kali ketiga pentadbiran kerajaan negeri daripada Barisan Nasional (BN) yang tewas dalam PRU-14.

Hadi berkata, PAS yang pernah menjadi kerajaan negeri selama beberapa penggal adalah parti yang paling banyak pengalaman bukan sahaja kemenangan tetapi juga kekalahan yang menjadikan parti itu kuat dan kekal sehingga kini.

Sementara itu ditanya sama ada PAS bersedia menjalin sebarang kerjasama dengan kerajaan pakatan yang memenangi PRU-14 atau Barisan Nasional (BN) yang tewas, beliau berkata, PAS bersedia melakukan apa sahaja yang baik untuk kepentingan rakyat.

“Kita akan lihat daripada segi dasar parti (sebelum jalin sebarang kerjasama). PAS ada dasar sendiri dan Majlis Syura Ulama. Kita berdasar kepada Islam dan kita lihat mana yang lebih memberi kebaikan kepada umat Islam dan Islam itu sendiri,” katanya.

Hadi yang pernah menjadi Menteri Besar Terengganu ketika PAS memenangi PRU-10 pada 1999, mengulangi harapan supaya kerajaan pakatan yang dipimpin Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri tidak lagi mengulangi kesilapan dilakukan ketika menjadi pemimpin nombor satu negara sebelum ini.

“Kerajaan Pusat mesti menghormati kerajaan negeri. Dalam perlembagaan, perjanjian sudah ada. Selama ini mereka tidak menghormati (hak negeri), kita harap ia tidak berulang dan tiada lagi campur tangan dalam urusan kerajaan negeri,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments