NS tamatkan kontrak Azraai, Lemos ganti

181

SEREMBAN: Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) terpaksa mengambil tindakan drastik dengan menamatkan kontrak ketua jurulatih, Azraai Khor Abdullah mulai semalam susulan prestasi hambar dalam saingan Liga Super setakat ini.

Bekas pengendali kebangsaan itu yang mula mengambil alih sejak Mac lalu, dilihat gagal membantu meningkatkan prestasi pasukan itu apabila hanya merekod dua seri daripada lima perlawanan di bawah bimbingannya.

Pengurus Datuk Mohamad Haslah Mohd Amin berkata, PBNS melantik ketua jurulatih baharu berasal dari Portugal, Mario Lemos, 34, mulai semalam untuk membimbing pasukan dan meneruskan perjuangan dalam saingan liga.

Beliau yang juga Naib Presiden PBNS berkata, pelantikan Lemos yang juga bekas jurulatih kebangsaan Bangladesh, bagi tempoh hingga hujung saingan musim ini dibuat selepas melihat rekod pencapaiannya selain kesediaannya untuk mengembalikan semua prestasi Negeri Sembilan.

“Perlu saya jelaskan penamatan kontrak Azraai bukan diambil secara sewenang-wenangnya sebaliknya ia dibuat berdasarkan prestasi yang ditunjukkan sepanjang lebih sebulan beliau menjalankan tanggungjawab itu sejak Mac lalu.

“Prestasi dan pencapaian pasukan dalam tempoh beliau menjalankan tugas itu tidak menampakkan peningkatan dan selepas meneliti secara keseluruhannya, kami terpaksa mengambil tindakan menamatkan kontrak beliau serta-merta.

“Kami (PBNS) amat sayang dengan pasukan ini dan sudah tentu tidak mahu reputasi terus tercalar dalam saingan Liga Super, walaupun kami tidak menetapkan sasaran tinggi tapi sasaran kami adalah untuk terus kekal dalam Liga Super musim depan selain bersaing dalam Piala Malaysia musim ini.

“Justeru, bagi mengelak keadaan itu berlaku, kami terpaksa membuat keputusan menggantikan beliau (Azraai) dengan jurulatih lain untuk meneruskan latihan pasukan,” katanya di sini, hari ini.

Selepas sembilan perlawanan Liga Super, Negeri Sembilan kini menduduki tangga tercorot carta dengan meraih lima mata hasil satu kemenangan dan dua seri.

“Jurulatih (Lemos) sudah memulakan tugasnya semalam dan saya harap beliau mampu mengembalikan semula kekuatan serta persembahan pasukan Negeri Sembilan untuk kembali mencatat kemenangan pada perlawanan akan datang.”

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments