PH mohon perkenan menghadap Sultan Perak

6020

IPOH: Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, Ahmad Faizal Azumu akan mohon perkenan menghadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah hari ini bagi mendapatkan sembah nasihat untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Ahmad Faizal berkata, PH yang memenangi 29 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui PKR, sekali gus menjadi parti paling banyak memenangi kerusi.

“Kami akan berusaha untuk dapat perkenan Sultan Perak sama ada untuk menubuhkan kerajaan di Perak atau sembah nasihat daripada baginda.

“Kami harap peralihan kuasa daripada kerajaan Barisan Nasional (BN) kepada PH dapat dibuat dalam seberapa segera dan dijalankan dengan penuh berhemah,” katanya dalam sidang media di sini awal pagi ini.

Ditanya berkenaan parti PAS yang memenangi tiga kerusi DUN dan menjadi ‘king maker’ atau penentu kerajaan sama ada berpihak kepada BN yang mempunyai 27 kerusi DUN atau kepada PH, beliau berkata, buat masa ini perkara itu belum dibincangkan lagi.

“Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada rakyat yang mengundi PH hingga berjaya menubuhkan Kerajaan Persekutuan di mana hari ini Tun Dr Mahathir Mohamad akan menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia yang ketujuh.

“Mandat diberi rakyat ini amat bermakna dan kami akan terima sebagai satu amanah,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments