Telefon Bimbit Pemimpin BN Terima Serangan Teknikal

33

KUALA LUMPUR: Telefon bimbit milik beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) menerima serangan teknikal sejak awal pagi ini.

Pengarah Komunikasi Strategik BN, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, berkata pemimpin parti itu menerima panggilan dari luar negara tanpa henti.

Beliau mendakwa, tindakan itu jelas bertujuan menghalang komunikasi antara pemimpin dengan jentera parti berkenaan.

“Panggilan dari luar negara berterusan dalam tempoh beberapa saat!

“Untuk menghalang kami berkomunikasi dengan jentera parti. Ini taktik kotor!”katannya menerusi Twitter.

Seorang lagi pemimpin BN, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, berkata telefon bimbitnya menerima panggilan spam sejak awal pagi tadi.

Menteri Komunikasi dan Multimedia itu berkata, beliau menerima panggilan tanpa henti daripada nombor luar negara.

“Saya menerima panggilan tanpa henti sejak awal pagi, ini amat pelik,” katanya menerusi Twitter.

Yang turut menerima panggilan sama, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, apabila menyedari perkara itu selepas selesai mengundi.

“Baru selesai mengundi dan menyedari ada banyak panggilan tidak berjawab daripada nombor tidak dikenali. Pelik,” katanya.

Sementara itu Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata beliau masih menerima panggilan pelik dari luar negara, terutama Amerika Syarikat.

“Difahamkan, ramai yang menerima spam ‘missed calls’ macam ini, pagi ni,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments