Mukhriz ambil tindakan undang-undang terhadap Anina

152

JERLUN: Datuk Seri Mukhriz Mahathir akan mengambil tindakan undang-undang ke atas Anina Saadudin yang mendakwa bekas Menteri Besar Kedah itu terbabit dalam isu kelulusan pajakan tanah pantai di Langkawi.

Sambil menyifatkan Anina yang juga antara bekas pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bukannya seorang yang berwibawa untuk membuat dakwaan seperti itu, Mukhriz bagaimanapun berkata, tindakan undang-undang itu tidak perlu disegerakan kerana ia bukan sesuatu yang mustahak.

Malah, calon PKR bagi kerusi Parlimen Jerlun dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jitra itu menegaskan dirinya juga tidak terkesan dengan pendedahan terbabit.

ANINA mendakwa Mukhriz terbabit dalam isu kelulusan pajakan tanah pantai di Langkawi.

“Kami akan mengambil tindakan undang-undang selepas selesai pilihan raya ini…Anina perlu terima padahnya sebab membuat penipuan untuk menjatuhkan imej saya dan ayah saya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kita belum bincang lagi (dengan peguam) kerana ia tak perlu disegerakan…benda itu bukan suatu yang mustahak…saya tak anggap dia seorang yang berwibawa atau ada integriti, jadi saya tidak perlu melenting dengan kenyataannya itu, ” katanya selepas selesai mengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Siputeh, dekat sini, hari ini.

Mukhriz berkata demikian bagi mengulas dakwaan Anina yang mempertikaikan kelulusan pajakan tanah pantai untuk tempoh 60 tahun di Langkawi kepada Dr Mahathir pada 2014, iaitu ketika beliau memegang jawatan sebagai Menteri Besar Kedah.

Melalui pendedahan menerusi entri di laman Facebook miliknya itu, Anina turut memuat naik dokumen yang didakwa salinan surat tawaran pajakan berkenaan kepada Dr Mahathir.

Mukhriz pada masa sama menafikan salinan surat tawaran dikemukakan Anina itu dengan mendakwa ia adalah penipuan semata-mata bertujuan mempengaruhi undi menjelang saat akhir Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Terdahulu, Mukhriz bersama isterinya, Tok Puan Norzieta Zakaria tiba di SK Siputeh pada jam 9.10 selepas selesai menjalankan tanggungjawabnya, kira-kira 10 minit selepas itu.

Mukhriz pada PRU-13 menang di kerusi DUN Ayer Hitam, namun kali ini memilih bertanding di dua kerusi iaitu Parlimen Jerlun yang pernah dimenanginya pada PRU 2008 dan DUN Jitra.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments