4 penjenayah ditembak mati di ESSCOM

65

LAHAD DATU: Empat lelaki, dipercayai penjenayah rentas sempadan yang disyaki cuba melakukan penculikan untuk wang tebusan (KFR), maut dalam kejadian berbalas tembakan di perairan FELDA Sahabat, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian itu berlaku pada kedudukan 4.7 batu nautika dari sempadan perairan Filipina dan dalam kawasan perintah berkurung yang dikuatkuasakan ESSCOM.

Dalam kejadian jam 2 pagi di 9.6 batu nautika dari pantai FELDA Sahabat 16 itu, anggota keselamatan yang melakukan rondaan dengan bot Adal 19, mengesan sebuah bot dalam keadaan mencurigakan.

Pasukan yang terdiri daripada Pasukan Khas dari Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Unit 69 Komando dan Pasukan Polis Marin (PPM), menghampiri bot itu yang dinaiki sekumpulan lelaki menuju laju ke arah sekumpulan bot nelayan di perairan berkenaan.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Ramli Din, berkata pasukan keselamatan kemudian memintas bot itu dalam keadaan lampu biru polis dinyalakan, namun tiba-tiba beberapa suspek melepaskan tembakan yang dikesan menerusi percikan api dari bot berkenaan.

“Bagi mempertahankan diri, pasukan keselamatan membalas tembakan dan tidak lama selepas itu apabila membuat pemeriksaan, dua mayat suspek dengan kesan tembakan ditemui di bot dan dua mayat lagi di dalam laut.

“Dalam kejadian tembak menembak itu, anggota keselamatan tidak mengalami sebarang kecederaan, namun ada satu kesan tembakan pada bahagian hadapan kiri bot Adal 19,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Lahad Datu, hari ini. Yang turut hadir, Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali.

Ramli berkata, pemeriksaan susulan di lokasi kejadian mendapati empat suspek yang dianggarkan berusia 20-an hingga 40-an itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri.

“Berdasarkan penemuan kelongsong peluru dalam bot suspek, kita percaya kumpulan terbabit menggunakan senjata berat dan dipercayai tercampak ke dalam laut ketika insiden tembak-menembak.

“Kita telah menggerakkan pasukan Komando 69 dan PPM untuk menyelam bagi mengesan senjata terbabit di dalam laut, namun masih gagal ditemui,” katanya.

Beliau berkata, bot dinaiki kumpulan terbabit tiada nombor pendaftaran, manakala nombor enjin dipadamkan.

Pasukan keselamatan merampas sepucuk pistol bersama satu kelopak, pelancar grenad, kelongsong peluru 7.62mm (21 butir) dan kelongsong 5.56mm (13 butir).

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti identiti sebenar mereka,” katanya.

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments