Siew Keong buat laporan polis terhadap Kor Ming

74

TELUK INTAN – Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Mah Siew Keong menyangkal dakwaan Presiden DAP Perak, Nga Kor Ming bahawa beliau mempunyai pemastautin tetap di Australia.

Siew Keong yang juga calon BN Parlimen Teluk Intan, membuat satu laporan polis berhubung dakwaan Kor Ming di Balai Polis Teluk Intan jam 12 tengah hari tadi.

Menurut Siew Keong tindakan Kor Ming dilihat bertujuan menjatuhkan beliau bagi meraih undi masyarakat Teluk Intan terhadap pembangkang dalam tempoh 48 jam tamat berkempen.

“Pagi tadi saya dimaklumkan satu kenyataan media dari calon PKR, Nga Kor Ming bahawa timbul keraguan terhadap status kerakyatan saya dan saya tiada jalan lain kecuali buat laporan polis.

“Ini merupakan kali pertama saya membuat laporan polis sepanjang karier di dalam politik kerana kenyataan media beliau (Kor Ming) dan saya ingin tegaskan secara umum bahawa saya tidak pernah memohon pemastautin tetap di Australia atau mana-mana negara,” katanya kepada pemberita pada satu sidang akhbar khas, di sini, petang tadi.

Siew Keong yang juga Presiden Gerakan berkata, tindakan Kor Ming turut mempersoalkan status kesetiaan beliau kepada raja dan negara dilihat melampaui batas dan berniat jahat.

“Kita tidak perlu guna kenyataan merosakkan serta negatif untuk menewaskan pihak lawan dalam PRU dan Kor Ming tidak perlu rendah diri sendiri mengguna taktik buruk dengan pelbagai kenyataan tidak berasas.

“Saya harap warga Teluk Intan tidak terpengaruh di saat akhir dan saya jangka esok hari akhir akan ada lebih banyak pihak mendakwa pelbagai perkara menjatuhkan saya,” katanya.

Pagi tadi Kor Ming dalam satu kenyataan mendesak Siew Keong agar mengisytiharkan sama ada Calon BN Parlimen Teluk Intan berkenaan pernah memohon menjadi pemastautin tetap di Australia atau tidak.

Menurut Kor Ming rakyat Teluk Intan perlu mengetahui sama ada calon yang bakal dipilih mereka mempunyai taat dan setia kepada raja dan negara atau tidak dengan tempoh mengundi dalam 48 jam dari sekarang.

“Oleh itu, saya meminta calon BN Parlimen Teluk Intan, Datuk Seri Mah membuat pengisytiharan segera sama ada beliau pernah memohon status pemastautin tetap di Australia, supaya rakyat boleh membuat penilaian tepat tentang ketaatan calon berkenaan.

“Saya tidak ingin membuat sebarang dakwaan tetapi ingin memberi peluang kepada Datuk Seri Mah dalam tempoh 24 jam untuk membuat pengisytiharan terbuka dalam perkara ini supaya rakyat di Teluk Intan boleh mengetahui kebenaran,” katanya – sinar

Comments

PERINGATAN:

New Malaysian Post tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.


comments